Sunday 10 March 2024

Melaka anjur Bulan Pelancong Islam Melaka sepanjang Ramadan

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyampaikan resit Zakat Fitrah kepada amil selepas melancarkan Program Ihya Ramadan 1445H peringkat negeri di MITC, hari ini. NSTP/Amir Mamat


AYER KEROH: Bagi merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kerajaan negeri menganjurkan Bulan Pelancongan Islam sepanjang Ramadan ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata program yang akan berlangsung sehingga bulan depan itu akan dipenuhi dengan aktiviti berkonsepkan keagamaan menerusi tema 'Dari Hati Membawa Ke Syurga'.

Beliau berkata, antara aktiviti berkenaan ialah Seminar Rukyah dan Hisab, Malam Semarak Haruman Ramadan dan Jom Rewang Bubur Lambuk bertempat di Pavilion TMM2024 di Dataran Pahlawan serta beberapa lokasi terpilih.

Selain itu, katanya, sempena Ramadan ini juga, kerajaan negeri turut menganjurkan program Ihya Ramadan yang bertujuan menyuburkan 'roh Ramadan' serta meningkatkan penghayatan dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Melaka.

"Sepanjang mengimarahkan Ramadan tahun ini, kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Zakat Melaka, Jabatan Mufti serta Mahkamah Syariah Melaka merangka pelbagai program antaranya Program Imam Hafiz Tarawih Ramadan (IHTIRAM).

"Program itu membabitkan penyertaan imam bergelar Al-Hafiz yang akan mengetuai solat sunat Tarawih di 100 masjid dan surau terpilih di negeri ini, selain Taqarrub Ramadan, penganjuran Majlis Iftar Jamaie yang diadakan di Dataran Pusat Islam Melaka, Bukit Palah di sini pada setiap hujung minggu serta Program Iftar Mega pada 16 Mac ini.

"Pelaksanaan program ini bertujuan sebagai galakan kepada umat Islam untuk merebut peluang dalam meningkatkan amal ibadat sepanjang Ramadan secara istiqamah," katanya selepas melancarkan Program Ihya Ramadan 1445H peringkat negeri bertemakan 'Perpaduan Teras Malaysia MADANI' di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin; EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Mufti Melaka, Datuk Wira Abd Halim Tawil.

Justeru, beliau mengajak semua umat Islam negeri ini untuk sama-sama menyokong dan mengimarahkan bulan mulia Ramadan dengan segala program dan aktiviti yang dirancang oleh kerajaan negeri itu.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, prestasi keseluruhan kutipan zakat pada tahun lalu menunjukkan pencapaian memberangsangkan sehingga mencapai sasaran yang ditetapkan dengan jumlah RM128.3 juta.

Katanya, jumlah itu termasuk kutipan zakat fitrah tahun lalu iaitu sejumlah RM5.75 juta berbanding 2022 iaitu sejumlah RM5.6 juta.

Sehubungan itu, katanya, tahun ini, Zakat Melaka menyasarkan jumlah kutipan zakat fitrah berjumlah RM5.9 juta.

-Berita Harian.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.