Sunday, 3 March 2024

Putrajaya destinasi pelancong, lokasi acara bertaraf dunia

 

ZALIHA (tiga dari kanan) menghadiri Majlis Sambutan Ulangtahun ke-28 penubuhan PPj dan Festival Lentera. FOTO Samadi Ahmad

Putrajaya: Pusat Pentadbiraan kerajaan di sini menyasarkan kepada aspek bandar hijau termasuk menjadi perintis dan peneraju amalan kitar semula bandar rendah karbon selain mengukuhkan kedudukannya di peta dunia sebagai destinasi pelancongan serta penganjuran acara bertaraf dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, selepas hampir tiga dekad Putrajaya dibuka, Perbadanan Putrajaya (PPj) telah berjaya menempuh pelbagai cabaran dalam merancang, membangun dan mengurus pusat kerajaan ini.

Katanya, selain itu PPj juga berjaya membangunkannya sebagai bandar mampan pintar dan destinasi pelancongan bertaraf dunia.

"Pada masa ini Putrajaya memasuki penghujung dekad ketiga penubuhannya menjadi semakin kukuh sebagai bandar raya mampan dan pintar yang menerima pelbagai pengiktirafan dari peringkat tempatan dan antarabangsa termasuk menjadi rujukan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-28 penubuhan PPj dan Festival Lentera di Sisiran Tasik, Anjung Floria Presint 4 di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP),Datuk Noridah Abdul Rahim dan Presiden PPj, Datuk FadlunMak Ujud.

Sambutan ke-28 penubuhan PPj ini juga bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Ulangtahun ke-50 penubuhan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu.

"JWP mengucapkan terima kasih atas jasa bakti bekas enam Presiden yang pernah menerajui PPj dan membangunkan bandar ini sebelum ini terdiri daripada Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin, Tan Sri Samsudin Osman, Tan Sri Aseh Che Mat, Datuk Seri Hasim Ismail, Datuk Dr Aminuddin Hassim danDatuk Muhammad Azmi Mohd Zain," katanya.

-Harian Metro.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.