Monday, 4 March 2024

Jerami 'I Love Kedah' tarik perhatian pengunjung

 


Yan: Idea seorang pemilik warung di tepi sawah untuk menganjurkan pesta jerami gulung sejak seminggu lalu berjaya menarik pengunjung tempatan termasuk dari Singapura dan Thailand.


Pengusaha warung berkenaan Mat Desa Abu Hassan, 61, berkata dia sangat bersyukur idea itu berjaya menggamit pelancong sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.


Katanya, warung miliknya yang dinamakan warung tepi bendang (WATEB) juga tidak henti menerima pelanggan terutama pada waktu petang.


"Saya membelanjakan kira-kira RM2,000 untuk hias dan membeli gulung jerami, terdapat lebih kurang 20 gulung jerami yang dihias bagi menarik kehadiran pengunjung terutama pelancong ke Yan yang terkenal sebagai daerah pelancongan desa.


"Kami juga sediakan tujuh tempat bergambar, jerami dibentuk huruf seperti I Love Kedah, I Love Yan, I Love Wateb dan papan tanda Ulu Sedaka Yan Kedah. "Ada pengunjung dari Terengganu, Pahang dan Johor dan saya paling tak sangka pelancong dari Thailand dan Singapura juga singgah ke sini untuk melihat keindahan gulung jerami," katanya.


Mat Desa berkata pengunjung juga boleh menikmati keindahan matahari terbenam di kampung itu kerana kedudukannya yang berhampiran dengan laut. "Kanak-kanak juga boleh bermain layang-layang di dalam sawah, mereka boleh naik ke atas jerami untuk bergambar," katanya yang sudah tiga tahun membuka warung di depan rumahnya.


Penghulu Mukim Sungai Daun, Zulkifle Omar, berkata selain pesta jerami dapat menarik pengunjung dalam dan luar negeri, pengunjung juga didedahkan tentang kegunaan sisa tanaman padi yang mampu dijadikan sumber pendapatan. Katanya, pesta itu juga boleh dijadikan aktiviti tahunan untuk meningkatkan industri pelancongan desa daerah Yan.


"Dianggarkan kira-kira 200 pengunjung datang ke sini setiap petang, hujung minggu jumlah pengunjung akan lebih ramai, penduduk mengambil kesempatan untuk berniaga, dapatlah keluarga pesawah menambah pendapatan sementara menunggu musim menanam April ini," katanya.


Pesawah, Fathol Mubin Sarit, 32, berkata kebanyakan jerami dibakar sebelum ini namun kini ia digulung hasil inisiatif agensi berkaitan untuk menjadi makanan alternatif bagi menggantikan makanan lembu yang harganya sentiasa meningkat.


"Tapi sekarang gulungan jerami juga dijadikan sebagai hiasan untuk menarik pengunjung ke kampung, suasana kampung kini lebih meriah selepas musim menuai," katanya.

-Harian Metro.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.