Kepulangan kapal setinggi bangunan 10 tingkat dan seluas kira-kira saiz dua buah padang bola itu berikutan permintaan tinggi pelancong terhadap per­khidmatan kapal mewah tersebut.

Bermula 2010, kapal yang mempunyai 700 kabin itu menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pelabuhan utama pelayaran mereka.
Bagaimanapun sehingga 15 Julai tahun lalu, kapal itu menjadikan Pelabuhan Xiamen, China sebagai pelabuhan utama sekali gus tidak lagi memasuki perairan negeri ini.

Namun, atas permintaan ramai khususnya dalam kalangan penumpang setia, kapal dengan lebih 300 anak kapal tersebut kembali menawarkan pelayaran mewah kepada pelancong bermula 23 September lalu.

Naib Presiden Jualannya, Cynthia Lee berkata, pihaknya teruja untuk kembali belayar dari negeri ini selepas lebih setahun tidak berlabuh di Pelabuhan Swettenham di sini.

Menurut beliau, perairan ne­geri ini sentiasa menjadi pilihan kepada pihaknya apatah lagi dengan permintaan memberangsangkan sama ada daripada pelancong dalam atau luar negara kepada perkhidmatan mereka.

“Sebab itu kita membuat keputusan kembali ke perairan negeri ini dan menawarkan pakej utama kami iaitu pelayaran ke Phuket dan Krabi, Thailand.

“Malah, pelancong khususnya penduduk tempatan juga berpeluang merasai pengalaman belayar di atas kapal mewah ini menerusi pakej satu malam di perairan tempatan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majlis sambutan semula kapal mewah itu di Pelabuhan Swettenham, Georgetown, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang Sdn. Bhd., Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza.

Buat masa ini, Star Cruises SuperStar Libra menawarkan dua pakej utama iaitu pelayaran tiga hari ke Phuket dan Krabi, Thailand setiap Ahad bermula 23 September lalu.

Turut ditawarkan adalah pakej pelayaran satu malam ke perairan negeri ini setiap Rabu dan Sabtu dan maklumat me­ngenai harga pakej boleh didapati dengan melayari www.starcruise.com.

Menurut Cynthia, pelayaran ke Thailand setiap minggu itu sudah pun menerima tempahan menggalakkan daripada lebih 20 ejen mereka di negeri ini.

Katanya, kebanyakan pelancong pula merupakan pelancong asing antaranya dari India, Indonesia, Jepun, Singapura, Thailand dan Taiwan.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Tan Teik Cheng melahirkan rasa gembira dan teruja dengan kepulangan semula kapal mewah itu ke negeri ini yang sekali gus me­lonjakkan sektor pelancongan domestik di negeri ini.

“Tidak syak lagi kapal mewah ini merupakan aset pe­lancongan penting kepada ka­mi se­perti yang dapat dilihat ketika mereka belayar dan berlabuh di pela­buhan ini beberapa tahun lalu.

“Sebab itu kita cukup gembira selepas mereka memilih menjadikan Pelabuhan Swettenham sebagai pelabuhan utama untuk kesekalian kalinya kerana ini merupakan berita gembira buat penggiat sektor pelancongan di negeri ini,” katanya.