Terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar raya, memudahkan tetamu hotel itu berkunjung ke tempat menarik di sekitarnya seperti Menara Alor Setar, Masjid Zahir, Muzium Padi, Rumah Tunku Abdul Rahman, Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pekan Rabu.

Menginap di hotel itu turut memudahkan pelancong yang menggemari makanan laut berkunjung ke Kota Kuala Kedah yang menawarkan makanan segar pada harga berpatutan.

Pengurus peribadi kepada pemilik hotel berkenaan, Sheila Ahmad Kamal berkata, kedudukannya yang strategik menjadikan hotel itu pilihan pelancong, selain penjawat awam untuk menganjurkan seminar, mesyuarat dan majlis korporat.

“Memandangkan lokasi hotel ini terletak di hadapan pasar raya Tesco, maka tetamu hotel boleh berjalan kaki ke sana untuk membeli barangan keperluan diri.

“Lebih unik, persekitaran hotel ini yang dikelilingi pelbagai gerai menjual makanan tempatan membolehkan pelancong merasai keenakan aneka juadah, selain menikmati menu yang disajikan di hotel,” katanya kepada S2.

Beliau berkata, Hotel Grand Alora mempunyai 235 bilik yang terdiri daripada lapan jenis bilik iaitu superior, deluxe, junior suite, junior deluxe suite, deluxe suite, executive suite, executive family suite dan grand Alora suite pada harga bermula daripada RM198 hingga RM6,000 semalam.

“Antara fasiliti yang disediakan adalah Restoran Lengkuas dan Dao Sheng yang mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menawarkan pelbagai makanan tempatan, barat dan Cina pada harga berpatutan.

“Selain itu, hotel ini juga mempunyai kemudahan spa, gimnasium dan kolam renang untuk dewasa dan kanak-kanak serta surau,” ujarnya.

Pihaknya turut menawarkan pakej perkahwinan Melayu dengan pelbagai kemudahan disediakan seperti penginapan untuk pengantin, dewan, kek mini sebagai cenderahati kepada tetamu, dekorasi asas dan makanan yang berharga RM29 seorang dengan tempahan minimum sebanyak 300 orang.

Sementara pakej perkahwinan Cina pula bermula daripada RM488 untuk sebuah meja yang mana dewan utamanya mampu memuatkan kira-kira 1,500 tetamu dalam satu-satu masa.