Pengarah Operasinya, Casper Bonavent berkata, tarikan baharu yang diperkenalkan taman tema itu apabila dibuka kelak diyakini mampu memper­tingkatkan kunjungan orang ramai terutama pelancong domestik dan antarabangsa ke situ.

Menurutnya, Ninjago World yang bakal dilengkapi dengan Ninjago Ride memberikan pengunjung pengalaman perjalanan berkonsepkan empat dimensi (4D) dengan mengawal sendiri pengembaraan mereka.

“Menerusi teknologi itu, pe­ngunjung berpeluang merasai pengalaman luar biasa hanya dengan menggerakkan tangan dan pada masa sama dapat merasai seolah-olah mempunyai kuasa hebat seperti mengeluarkan bebola api.

“Tarikan baharu di Legoland Malaysia itu kini 85 peratus siap dan kita menjangkakannya dapat memulakan operasi pada November ini,” katanya selepas pelancaran Halloween - Brick or Treat di Legoland Malaysia di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, pihak Legoland Malaysia turut membawa 100 kanak-kanak kurang bernasib baik merasai pengalaman di taman tema tersebut secara percuma menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dikenali Merlin Magic Wand.

Tambahnya, tarikan terbaharu itu juga yang pertama seum­pamanya diperkenalkan di Asia Tenggara akan memberikan pe­ngalaman baharu kepada pengunjung Legoland Malaysia terutama kepada mereka yang meminati Ninjago.

Sementara itu, mengulas berhubung program CSR Legoland Malaysia, Casper memberitahu, usaha berkenaan akan dilakukan berterusan bagi memberi peluang kepada golongan kurang bernasib baik untuk meneroka taman tema tersebut.

“Pihak kami akan sentiasa menggerakkan pelbagai aktiviti menerusi Merlin Magic Wand dalam usaha memberi dan membawa pengalaman di Legoland Malaysia ini antaranya kepada kanak-kanak kurang berkemampuan,” katanya.