Ahli Jawatankuasa MATTA Ne­geri Sembilan, Mohd. Ali Hasbullah berkata, pelbagai pakej pelancongan domestik de­ngan diskaun menarik ditawarkan kepada pengunjung pameran tersebut.

Katanya, terdapat banyak aktiviti dan lokasi menarik yang belum diterokai oleh orang ramai dalam sektor pelancongan domestik seperti Galeri Diraja Tuanku Ja’afar di sini yang dibuka sejak Mei lalu.

“Kita harap dapat menggiatkan aktiviti pelancongan domestik, sekali gus dapat menjana ekonomi negara.

“Kira-kira 35,000 orang telah mengunjungi MATTA Fair ke-15 pada April lalu dan dalam pa­meran kali ini, kita harap dapat menarik sekurang-kurangnya 40,000 pe­ngunjung,” katanya dalam sidang akhbar, di sini baru-baru ini.

MATTA Fair itu akan berlangsung selama tiga hari di Palm Mall Seremban dekat sini pada 30 September ini dari pukul 10 pagi hingga 9 malam.

Menurut Mohd. Ali, pameran ini merupakan kali kedua diadakan tahun ini berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.

Jelasnya, sebanyak 13 agensi pelancongan mengambil bahagian dalam pameran tersebut yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan bermula daripada harga serendah RM200.

Pameran itu turut dimeriahkan dengan penyertaan lapan pihak bukan ahli MATTA terdiri daripada resort, hotel dan bank, tambahnya.

“Pameran ini dimeriahkan dengan aktiviti sampingan se­perti kempen menderma darah, pertandingan mewarna kanak-kanak Tadika Kemas, persembahan kebudayaan, demonstrasi masakan dan kuiz pelancongan,” ujarnya.