Sunday, 25 September 2016

Jelajah 12 negara promosi Pahang


MOHD. SHAKAR MOHD. SHAMSUDDIN (dua kanan) mengibar bendera negeri
sebagai perlepasan konvoi program Jelajah Kembara Eropah Promosi
Tahun Melawat Pahang 2017 di Kuantan, semalam. Mingguan/Ameer Ferdaus AB. Aziz


KUANTAN 24 Sept. – Seramai 65 peserta yang menaiki 17 ken­deraan pacuan empat roda akan menjelajah 12 negara bagi mempromosikan negeri ini sebagai destinasi tarikan pelancongan ke peringkat lebih tinggi sempena kempen Tahun Melawat Pahang 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lan­congan dan Kebudayaan ne­geri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, program selama 52 hari itu bermula hari ini di sini dan dijangka berakhir di London, United Kingdom dengan melibatkan peserta yang terdiri daripada kakitangan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengamal media.

“Kembara ini juga disertai doktor dan mekanik sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang perja­lanan mereka,” katanya pada majlis pelepasan peserta program Jelajah Kembara Eropah: Promosi Tahun Melawat Pahang 2017 di pekarangan Pejabat Tourism negeri di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengurus Besar Tourism negeri, Datuk Ishak Mokhtar.

Menurut Mohd. Sharkar, negara-negara yang akan dijelajahi peserta program tersebut ialah Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Rusia, Belarus, Poland, Jerman, Belanda, Belgium, Perancis dan United Kingdom.

Katanya, pelaksanaan program berkenaan adalah sebagai antara usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan pusat-pusat pelancongan di negeri ini sebagai destinasi tumpuan dari dalam dan luar negara sete­rusnya mengarusperdanakannya sebagai sektor penting pertumbuhan ekonomi.

Tambah beliau, program itu akan menjadi titik permulaan kepada penduduk di negara yang dijelajahi peserta kembara ber­kenaan untuk memilih negeri ini sebagai destinasi percutian terbaik dunia.

“Kita mendoakan peserta jelajah kembara ini dapat menempuh cabaran dan halangan sepanjang perjalanan dengan jayanya serta mencapai misi yang ditetapkan. Kita juga akan bersama mereka di negara tertentu untuk mempromosikan Pahang kepada negara luar,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, negeri ini menerima seramai 10.5 juta pelancong pada tahun lalu yang menjana pendapatan sebanyak RM7 bilion.

“Dengan pelaksanaan program jelajah ini, kita menyasarkan seramai 15 juta pelancong ke negeri ini pada tahun hadapan yang mana perbelanjaan pelancong dijangka melebihi RM10 bilion,” katanya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.