Pengalaman itu adalah bertemankan limpahan cahaya yang dikeluarkan oleh sejenis serangga yang menjadi penghuni tetap di sungai berkenaan.
Suasana gelap-gelita di sungai ini yang disinari dengan cahaya kunang-kunang pasti akan meninggalkan nostalgia yang sukar dilupakan.
Kelibat serangga bercahaya ini boleh dilihat berterbangan di dahan-dahan pokok berembang yang tumbuh di sepanjang sungai berkenaan sepanjang malam sehinggalah waktu dinihari. Ribuan kunang-kunang lebih mudah didapati di kawasan tersebut terutama pada malam yang gelap tanpa cahaya bulan atau selepas hujan lebat memandangkan pada waktu itulah kunang-kunang aktif.
Lebih menarik apabila kunang-kunang jantan bergerak-gerak untuk menarik perhatian kunang-kunang betina, pokok-pokok pastinya akan kelihatan bercahaya ibarat lampu neon, dan pastinya ia menjadi perjalanan yang cukup romantik.
Keindahan fauna dan flora yang terdapat di sungai tersebut bukan sahaja dinikmati oleh penduduk tempatan, malah turut menarik perhatian pelancong dari luar negara antaranya dari Singapura, Taiwan dan China. Kebiasaannya, orang ramai yang ingin menikmati keindahan kunang-kunang di sungai ini akan menggunakan perkhidmatan bot yang disediakan oleh pengusaha pelancongan yang beroperasi di sungai berkenaan termasuklah Kota Tinggi Firefly Park.
Pengurus Kota Tinggi Firefly Park, Marco Lee, 32, berkata, sambutan orang ramai untuk melihat kunang-kunang di Sungai Johor bukanlah perkara baharu, malah ia semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi pelancongan bagi memudahkan pelancong luar dan dalam negara menikmati keindahan fauna dan flora di sungai tersebut.
''Sejak dahulu lagi, Sungai Johor ini telah menjadi habitat kunang-kunang dan ia menjadi salah satu tarikan kepada orang ramai dan pelancong luar ke daerah Kota Tinggi. ''Perniagaan keluarga saya ini juga telah beroperasi sejak 12 tahun lalu dan sambutannya semakin bertambah sejak tiga tahun kebelakangan ini," katanya.
Menurut Marco, kebiasaannya bot milik syarikatnya yang boleh menampung antara 30 hingga 60 penumpang dalam satu masa akan menyelusuri sungai berkenaan sejauh lima kilometer atau kira-kira 45 minit.
Katanya, bayaran yang dikenakan kepada orang dewasa adalah RM18 seorang manakala kanak-kanak pula RM12 seorang, dan setiap penumpang akan disediakan jaket keselamatan. Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan daripada Kota Tinggi Firefly Park boleh menghubungi talian 017-4607775.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.