JERANTUT 22 Jan. - Sebanyak 10 buah rumah di Rancangan Felcra Tembeling Tengah dekat sini akan dijadikan inap desa bagi merancakkan lagi industri pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Juzilman Basir berkata, pihaknya baru menerima lesen mengusahakan inap desa dan memilih Rancangan Felcra Tembeling Tengah bagi tujuan tersebut kerana kawasan itu menjadi tumpuan pelancong yang bercuti di Taman Negara. "Terdapat 100 buah rumah di kawasan ini namun kita memilih 10 sahaja bagi peringkat awal dan jumlahnya akan ditambah jika mendapat sambutan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Masyarakat Bersama Pemimpin di Rancangan Felcra Tembeling Tengah dekat sini semalam.
Majlis tersebut dihadiri oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad; Ahli Lembaga Pengarah Felcra, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak. Juzilman berkata, program inap desa tersebut mendapat persetujuan pemilik rumah yang terpilih dan mereka bersedia memberi kerjasama bagi tujuan menarik lebih ramai pengunjung ke Taman Negara Kuala Tahan.
"Program inap desa membolehkan kita menerapkan elemen tradisional dalam kehidupan masyarakat terutamanya kebudayaan dan makanan selain memberi pengetahuan mengenai tempat menarik di Taman Negara kepada tetamu," ujarnya. Menurut beliau, para pengunjung akan dapat melihat pelbagai kebudayaan negeri Pahang dengan lebih dekat dan menjalani kehidupan masyarakat kampung selain menikmati makanan tradisional terutama masakan ikan air tawar seperti patin dan tilapia.
Beliau memberitahu, program inap desa itu juga dapat menambah pendapatan penduduk selain memupuk perpaduan di kalangan masyarakat terutama pergaulan dengan masyarakat luar termasuk pelancong asing. "Kami berharap dengan adanya inap desa ini, ia dapat membantu mempromosikan pelancongan Taman Negara Kuala Tahan kepada masyarakat luar yang dilihat semakin popular," jelasnya.
-Utusan Online.
tiadakah yang lebih indah daei sekarang
ReplyDelete