Tuesday, 5 August 2025

ThinkCup tarik pelancong ke Bukit Merah Laketown Resort

 

KUALA LUMPUR: Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) memperkukuh komitmen terhadap pelancongan berkualiti dengan pembukaan kafe berkonsepkan alam semula jadi, ThinkCup. 

Terletak di puncak Ripple Hills pada ketinggian 43 meter dari paras laut, ThinkCup menawarkan pemandangan Tasik Bukit Merah yang memukau dengan suasana kehijauan semula jadi yang mendamaikan. 

Timbalan Ketua Pegawai Operasi MK Land, Nazri Tumin berkata sebagai sebahagian usaha menyokong kelestarian, lebih 50 jenis pokok herba dan tumbuhan tempatan ditanam di sekitar kawasan ThinkCup. 

Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja memperkayakan ekosistem setempat, malah menyediakan bahan segar untuk hidangan tetamu pada masa hadapan, sekali gus mencipta pengalaman lebih mampan dan mesra alam.

"Pengiktirafan Gold Award MyTQA yang diterima baru-baru ini menjadi bukti kepada usaha kami mengekalkan standard kualiti perkhidmatan di BMLR. Pembukaan ThinkCup adalah langkah seterusnya untuk meningkatkan pengalaman tetamu sambil memelihara kelestarian alam serta memberi nilai tambah kepada komuniti setempat," katanya. 

Nazri menegaskan, usaha ini juga mencerminkan dedikasi BMLR terhadap pelancongan mampan, selaras sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Mengulas mengenai operasi semasa, beliau berkata musim kemarau yang melanda Kerian dan kawasan sekitar sehingga menjejaskan paras air Tasik Bukit Merah tidak memberi kesan terhadap operasi resort. 

"Taman tema air masih dibuka seperti biasa. Kami mengalu-alukan kedatangan pengunjung, sama ada untuk menikmati keseronokan taman tema air atau sekadar singgah berehat sambil menikmati kopi di ThinkCup sebelum meneruskan perjalanan ke utara atau selatan," katanya.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.