Tuesday, 26 August 2025

LADA, MAG tawar diskaun penerbangan tarik pelancong ke Langkawi

 

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Malaysia Aviation Group (MAG) menawarkan diskaun penerbangan sebanyak 30 peratus menerusi kempen Langkawi Special Deals. 

Pengurus Bahagian Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr Azmil Munif Mohd Bukhari, berkata kempen itu dijangka membantu meningkatkan pendapatan hasil pelancongan pulau peranginan itu tahun ini kepada RM8 bilion dengan sasaran pelancong seramai 3.5 juta orang. 

Beliau berkata, setakat Julai 2025, Langkawi merekodkan kedatangan 1.7 juta pelancong membolehkan sasaran bagi tahun ini dapat dicapai berdasarkan kepada pelbagai agenda yang dilaksanakan oleh LADA. 

"LADA akan meneruskan pelbagai agenda mempromosikan pelancongan Langkawi seperti kempen Langkawi Special Deals membabitkan lebih 30 rakan kerjasama termasuk MAG.

"Kami yakin usaha ini akan membawa lebih banyak pelancong ke Langkawi," katanya selepas majlis pelancaran Langkawi Special Deals oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kesetiaan & Perjalanan MAG, Philip See.

Azmil Munif berkata, terdapat 20 hingga 30 rakan kerjasama di Langkawi terbabit dalam kempen yang bermula pada 1 Oktober ini. 

"Rakan kerjasama di Langkawi itu akan meningkat dari masa ke masa jika kempen ini telah bermula. Kerjasama dengan MAG adalah bagi membawa lebih ramai pelancong dari Lembah Klang melawat Langkawi. 

"Pelbagai tarikan dan diskaun disediakan dan kami jangka kedatangan pelancong akan lebih 20 peratus pada Oktober ini berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu purata 150,000 pelancong sebulan," katanya. 

Kempen Langkawi Special Deals menampilkan tawaran daripada tarikan pelancongan, hotel, premis makanan dan minuman (F&B), peruncit bebas cukai, pengendali pengangkutan, serta penyedia perkhidmatan pelancongan di pulau peranginan itu. 

Pelancong boleh menikmati diskaun eksklusif sehingga 70 peratus bagi produk dan perkhidmatan terpilih daripada rakan kongsi yang mengambil bahagian. 

Kerjasama LADA dan MAG melalui MHholidays pula menawarkan pakej penerbangan dan hotel untuk tempoh terhad. 

Menerusi MHholidays, cabang operasi pelancongan Malaysia Airlines, pelancong bakal menikmati promosi eksklusif penerbangan dan hotel, termasuk penjimatan sehingga RM400. 

Melengkapinya, Journify iaitu platform sehenti perjalanan MAG akan menawarkan rebat tambahan RM30 untuk lawatan dan tarikan di Langkawi bagi pelanggan yang menempah pakej penerbangan dan hotel.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.