Monday, 11 August 2025

Kuching destinasi mesra bajet, kaya budaya

 

PENERBANGAN sejam 50 minit dari Kuala Lumpur bukanlah tempoh yang lama untuk tiba ke destinasi pelancongan bajet yang menjadi antara pilihan utama di Malaysia iaitu Kuching, Sarawak.

Bandar raya itu menawarkan seribu satu keunikan, bermula dengan kepelbagaian makanan, keramahan penduduk berbilang kaum selain warna-warni budaya dan keindahan alam semula jadinya, selain Kuching turut merekodkan sejarah perkembangannya yang mempersona. 

Malah asal-usul nama Kuching itu sendiri dikaitkan dengan pelbagai teori, namun memetik laman web Pejabat Residen Bahagian Kuching, nama bandar raya itu sudah pun digunakan sejak pengembara Inggeris, James Brooke, pada tahun 1839.

Semasa era pemerintahan Brooke juga, Kuching sudah memainkan peranan penting sebagai pusat perdagangan serantau, khususnya dalam jaringan perdagangan Indo-China dan Asia Pasifik. Hal ini tentu saja disebabkan kedudukannya yang strategik di selatan kepulauan Borneo.

Hari ini, Kuching adalah destinasi pelancongan bajet popular bersandarkan data terkini platform pelancongan digital terkenal, Agoda. 

Menariknya jika anda ke Kuching, ia bukan saja menjadi gerbang utama meneroka Sarawak selain lajak ke Kalimantan, lokasi pelancongan yang ditawarkan juga tidak terlalu jauh untuk dikunjungi.

Lokasi wajib 

Misalnya, dari pusat bandar anda boleh meneroka Taman Negara Bako yang hanya memakan masa sekitar 45 minit sahaja. Ia adalah lokasi wajib dikunjungi jika anda mahu menikmati alam semula jadi yang indah apatah lagi hampir semua spesis tumbuhan yang ditemui di Borneo boleh ditemui di sini. 

Kunjungan ke Taman Negara Bako juga tidak lengkap jika tidak melihat sendiri 'monyet hidung mancung' atau disebut 'Orang Belanda' malah jika bernasib baik, mungkin terserempak dengan spesis ikan lumba-lumba. 

Selain Taman Negara Bako, Kuching turut menawarkan beberapa destinasi pelancongan lain yang tidak jauh dari pusat bandar misalnya Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Kampung Budaya Sarawak selain mercu tanda unik seperti Dewan Undangan Negeri Sarawak, Astana, Fort Margherita, Muzium Kucing dan Muzium Sarawak yang memastikan kunjungan anda ke bandar raya itu sukar dilupakan.

Jika anda berkunjung sekitar Jun atau Julai, Kuching selalu meriah dengan Rainforest World Music Festival yang dimulakan sejak 1998. 

Satu lagi lokasi pelancongan yang tidak harus dilepaskan jika berkunjung ke Kuching adalah Borneo Cultures Museum. Muzium ini yang dibuka kembali kepada awam pada 2022 susulan projek pembangunan semula dibina dengan rekaan berinspirasikan motif kraf tradisional Sarawak serta Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang terletak berhampiran. 

Ia adalah muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara, menghimpunkan kepelbagaian artifak sejarah dan warisan budaya masyarakat tempatan Sarawak, serta etnik lain yang terdapat di Borneo.

Selain Kuching, beberapa destinasi pelancongan luar negara turut menjadi antara destinasi tarikan pelancongan bajet antaranya Surabaya, Indonesia; Tirupati, India dan Hat Yai, Thailand. 

Pengarah Negara Agoda bagi Malaysia dan Brunei, Fabian Teja, data berkenaan membuktikan bahawa pelancong masih bijak dalam memilih destinasi yang bukan sahaja menarik, tetapi juga menjimatkan. 

"Sama ada meneroka lorong-lorong bersejarah di Kuching, menikmati sajian jalanan di Hat Yai, atau menyelami keunikan budaya di Tirupati, semuanya memberi peluang untuk mencipta kenangan tanpa membuat dompet anda 'menangis'," katanya.

Kaya sejarah 

Tambahnya, Surabaya, sebagai destinasi paling murah, terkenal dengan sejarahnya yang kaya dan suasana bandar yang meriah, selain menjadi pintu masuk ke Gunung Bromo dan Pulau Madura. 

Tirupati pula menarik dengan keindahan Kuil Venkateswara serta festival budaya yang meriah, manakala Hat Yai menampilkan keseimbangan antara kesibukan kota dan akses ke pantai-pantai cantik di sekelilingnya. 

Turut tersenarai dalam destinasi pelancongan bajet ialah Dalat, Vietnam yang terkenal dengan suasana sejuk dan landskap bergaya kolonial, serta Iloilo, Filipina, destinasi menawarkan gabungan pantai memukau dan tinggalan sejarah kolonial Sepanyol. 

Senarai destinasi pelancongan bajet turut menyenaraikan destinasi lain seperti Nagoya, Jepun dan Kaohsiung, Taiwan serta Daejeon, Korea Selatan, yang menawarkan tarikan sains, taman rekreasi dan kolam air panas.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.