LENGGENG, 27 Jun 2024 – Dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan
negara, Tourism Malaysia hari ini melancarkan sebanyak 62 pakej agropelancongan
Durian Tourism 2024/2025 bagi memeriahkan serta mempromosikan musim durian di
Malaysia menerusi kerjasama dengan 27 pengendali pelancongan tempatan.
Pakej yang ditawarkan bermula
serendah RM70 seorang untuk aktiviti makan durian di Relau, Kedah sehingga
RM4,450 bagi itinerari 3 Hari 2 Malam (3H2M) di Bentong Bilut Hills, Pahang.
Pelbagai aktiviti lain yang ditawarkan termasuklah lawatan ke dusun durian,
pengalaman mengutip serta menikmati durian dan buah-buahan tempatan, mengikuti
kelas memasak, membuat tempoyak, berakit, merasai pengalaman tinggal di kampung
selain menaiki kereta api dan bermain golf.
Encik Saidi Bundan, Timbalan Ketua
Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia berkata, pakej-pakej yang dibangunkan
pada kali ini meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor,
Melaka, Johor, Pahang, Kelantan dan Sabah bermula Jun 2024 untuk tempoh sah
kempen sehingga Disember 2025.
“Selain Brunei, Tourism Malaysia
juga menyasarkan pasaran luar negara seperti China, Hong Kong, Taiwan dan
Singapura menerusi penerbitan bahan promosi pakej Durian Tourism dalam bahasa
Mandarin.
“Pelancaran pakej ini bukan sahaja
diharap dapat memperkenalkan lebih banyak destinasi yang mampu memberikan impak
kepada kegiatan ekonomi setempat, malahan menjadikan program agropelancongan
yang diterajui oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai
salah satu segmen produk pelancongan minat khas sekali gus memperkukuhkan
komitmen kerajaan terhadap pembangunan pelancongan lestari seiring dengan Dasar
Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030,” katanya.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut
berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan, sila layari laman web Tourism Malaysia
di www.malaysia.travel.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.