Sunday, 9 June 2024

Pameran Cuti-Cuti Malaysia Madani Penjawat Awam 2024 Tawar Jualan Pakej Pelancongan Istimewa

 



PUTRAJAYA, 7 Jun 2024 – Tourism Malaysia menganjurkan Pameran Cuti-Cuti Malaysia MADANI Penjawat Awam 2024 yang menawarkan jualan pakej pelancongan domestik serta tiket masuk ke taman tema secara terus kepada para pengunjung pada harga istimewa di Alamanda Shopping Centre selama tiga hari dari 7 hingga 9 Jun 2024.

 Antara pakej-pakej yang bakal menarik minat pengunjung ialah Pakej Duo KTMB, pakej percutian di Pulau Redang, Kapas, Perhentian, Lang Tengah, Tioman dan Mabul selain pakej glamping, homestay dan penginapan di hotel serta resort bertaraf sehingga lima bintang.

 Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, penganjuran program ini menyasarkan anggota perkhidmatan awam untuk bercuti serta berbelanja di dalam negara sekali gus merancakkan pelancongan domestik serta perkembangan ekonomi setempat.

 “Pameran ini merupakan salah satu program yang dirancang dalam pelan promosi dan pemasaran Tourism Malaysia untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan bagi mencapai sasaran 220 juta pelawat domestik pada tahun 2024.

 “Walaupun pameran ini memfokuskan kepada penjawat awam, namun ia juga terbuka kepada orang awam untuk mendapatkan tawaran jualan pakej pelancongan dan tiket masuk pada harga diskaun sehingga 30 peratus,” katanya.

 Sebanyak 25 pemain industri terlibat dalam pameran kali ini merangkumi agensi pelancongan, hotel, operator produk pelancongan, taman tema, syarikat penerbangan, Keretapi Tanah Melayu Berhad serta syarikat promosi dan pemasaran kraftangan, Karyaneka Sdn Bhd.

 Selain berpeluang untuk menyertai kuiz pelancongan dan beramah mesra dengan pempengaruh media sosial, para pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan kebudayaan, demonstrasi kraftangan serta meneroka destinasi – destinasi pelancongan menarik di negara ini secara realiti maya.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.