KUANTAN: Hadiah wang tunai lebih RM53,000 menanti pemenang pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour-A Journey To VM2026, di Pantai Sepat, di sini, pada 23 Jun ini.
Pertandingan disokong Tourism Malaysia itu bagi menyokong usaha kerajaan dalam merancakkan pelancongan domestik menerusi tema Cuti-Cuti Malaysia.
Jurucakap penganjur, Md Zali Kasran, berkata program berkenaan dijangka membantu industri pelancongan domestik dengan pergerakan peserta dari seluruh negara yang rata-rata akan turut membawa ahli keluarga.
"Selain memancing, peserta yang hadir bersama keluarga untuk bercuti di pusat pelancongan popular itu, turut menyumbang kepada kerancakan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor makanan dan perhotelan,'' katanya.
Juara pertandingan berlokasi di Pantai Sepat yang kaya dengan pelbagai spesies ikan gred A seperti pari, ebek, gerong belang dan todak, akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Naib juara akan menerima RM4,000, manakala pemenang ketiga dan keempat, masing-masing bakal membawa pulang RM1,000 dan RM500. Hadiah wang tunai turut disediakan kepada pemenang kelima hingga 150.
Kaunter pendaftaran dibuka di lokasi pertandingan jam 3 petang 22 Jun hingga 12 tengah malam berkenaan, bersambung jam 7 pagi 23 Jun sehingga pertandingan dimulakan yang dijadual dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.
Pertandingan anjuran Wakjali Event Management dengan sokongan Tourisme Malaysia itu menyediakan 400 baju T untuk peserta terawal mendaftar di lokasi pertandingan.
"Yuran RM75 dikenakan untuk satu joran, manakala bagi pemancing kelainan upaya pula, hanya perlu bayar RM50. Ini yuran penyertaan paling murah pernah dikenakan dalam pertandingan memancing menawarkan hadiah RM20,000 kepada juara,'' katanya.
Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 019-6203040, 012-2141401 dan 012-6823479.
-berita harian.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.