Tuesday 11 June 2024

TMM 2024: Pameran Lagenda Hang Tuah, Malaysia Bike Week bakal tarik lebih ramai pelancong ke Melaka

 


KUALA LUMPUR: Kerajaan Melaka menganjurkan Pameran Lagenda Hang Tuah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) selama sebulan bermula hari ini, sempena sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).


Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata Manuskrip Hikayat Hang Tuah bertarikh 1758 antara artifak dan bahan sejarah yang bakal dipamerkan kepada pengunjung, termasuk hasil penemuan terbaru mengenai pahlawan Melayu itu.


Beliau berkata, pameran yang akan berlangsung sehingga 10 Julai itu adalah sebahagian daripada program sambutan TMM2024, sekali gus bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri itu.


Katanya, antara aktiviti menarik yang diatur sepanjang pameran ini termasuk Festival Keris dan Silat Warisan Nusantara Melaka, Simposium Antarabangsa Kajian Penyelidikan Hang Tuah menerusi sumber baharu, Teater Hikayat Hang Tuah dan jualan buku.


"Istimewanya, pameran ini akan mempamerkan kira-kira 20 penemuan artifak dan 20 manuskrip serta penulisan hasil kajian yang dilaksanakan termasuk replika meriam terbesar zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu 'Peca de Malacca' yang ditemui di Muzium Militari Lisbon, Portugal.


"Pameran tersebut juga akan dibahagikan kepada beberapa galeri utama iaitu Galeri Zaman Keagungan Kesultanan Melaka; Galeri Hang Tuah dalam beberapa seksyen termasuklah asal usul dan riwayat hidup, karakter atau ciri-ciri khas Hang Tuah, pelayaran Hang Tuah di seluruh dunia, filem Hang Tuah dan manuskrip hikayat Hang Tuah pelbagai bahasa.


"Pengunjung yang berminat boleh merasai sendiri pengalaman menyaksikan kehebatan pameran ini dengan harga tiket serendah daripada RM5.00 kanak-kanak dan RM15 dewasa," katanya kepada media ketika ditemui selepas program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas di sini, hari ini.


Ab Rauf berkata, sejak Januari lalu, Melaka menerima seramai 5.7 juta pelancong, lonjakan sebanyak 30 peratus susulan sambutan TMM 2024 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.


"Kenaikan jumlah pelancong itu berdasarkan indikator dalam jumlah tempahan hotel dan jualan tiket tempat tarikan pelancong yang melebihi daripada tempahan biasa," katanya.


Selain pameran Hang Tuah, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Superbikers Malaysia akan menganjurkan Malaysia Bike Week yang bakal menghimpunkan ribuan peminat dan pemilik motosikal pelbagai kategori, termasuk berkuasa tinggi di lokasi sama.


"Pameran tiga hari bermula 14 Jun ini turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk mempamerkan koleksi kereta klasik milik baginda," katanya.


Beliau berkata, Malaysia Bike Week adalah acara berprestij yang akan menarik kehadiran pemilik dan peminat motosikal dari dalam dan luar negara untuk melihat secara dekat pelbagai jenis motosikal.


"Pelbagai aktiviti menarik diatur sepanjang tiga hari festival Malaysia Bike Week ini, termasuk cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah kereta Proton X70," katanya.


Ab Rauf berkata pada hujung bulan ini, kerajaan negeri turut menganjurkan program Jom Heboh pada 28, 29 dan 30 Jun di MITC.


"Pelbagai program menarik termasuk cabutan nombor bertuah yang menawarkan hadiah kenderaan," katanya.


Mengenai pelantikan bintang filem terkemuka China, Fan Bingbing sebagai Duta Pelancongan Melaka 2024, Ab Rauf berkata, langkah itu mampu memberi impak besar kepada sektor pelancongan negeri khususnya dalam menarik kedatangan pelancong antarabangsa.


"Kerajaan negeri juga tidak mengeluarkan belanja yang besar bagi pelantikannya, sebaliknya kita hanya menguruskan aspek logistik. Ini kerana tiket penerbangannya juga ditaja sebuah syarikat tempatan selain pengurus antarabangsanya adalah anak tempatan dan faktor ini memudahkan usaha yang dilakukan.


"Kita mahu dunia datang ke Melaka untuk mempromosikan Melaka. Saya harap dengan pelantikan Fan Bingbing, kesan pemasaran berkaitan industri pelancongan ini akan lebih berkembang," katanya.

-berita harian.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.