Saturday 29 June 2024

Pelancongan dijangka sumbang RM198.7 bilion kepada ekonomi tahun ini

 


KUALA LUMPUR: Sektor pelancongan dijangka menyumbang sebanyak RM198.7 bilion atau 10.5 peratus kepada ekonomi negara pada 2024.


Laporan Economic Impact Research (EIR) 2024 oleh World Travel & Tourism Council (WTTC) menjangkakan sektor pelancongan Malaysia dapat mencapai pertumbuhan yang luar biasa pada tahun ini disokong oleh pengukuhan ekonomi, pekerjaan dan perbelanjaan domestik.


Menurut laporan itu, angka terbabit juga melepasi paras prapandemik pada 2019 sebanyak 1.6 peratus.


Katanya, pekerjaan dalam sektor perjalanan dan pelancongan dijangka meningkat dengan ketara kepada lebih daripada 2.4 juta, naik 5.2 peratus berbanding tahun lalu dan 5.3 peratus melebihi kemuncak 2019.


"Perbelanjaan pelancong juga diramalkan mengalami pertumbuhan yang besar dengan perbelanjaan pelancong domestik dijangka mencecah RM106.5 bilion.

"Perbelanjaan pelancong antarabangsa pula dijangka mencecah RM93.7 bilion, meningkat 27.8 peratus daripada 2023.

"Jangkaan pertumbuhan dalam sektor itu akan dilengkapkan dengan pelan hala tuju strategik 'Tahun Melawat Malaysia 2026' diumumkan kerajaan baru-baru ini, yang bertujuan untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif WTTC, Julia Simpson, berkata pertumbuhan dalam sektor perjalanan dan pelancongan Malaysia menyerlahkan komitmen kerajaan untuk menjadikan pelancongan sebagai asas pembangunan ekonomi.

"Fokus ini bukan sahaja memacu kemajuan ekonomi tetapi juga meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.

"Melangkah ke hadapan, menjelang 2034 kami meramalkan sektor perjalanan dan pelancongan Malaysia akan meningkatkan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM336.6 bilion, membentuk 12.1 peratus daripada ekonomi negara.

"Pekerjaan dalam sektor itu dijangka melebihi 3.5 juta pekerja, menunjukkan peranan pentingnya dalam tenaga kerja negara dan menggaji satu daripada enam warganegara," katanya.

Pada 2023, sektor perjalanan dan pelancongan negara menyaksikan pemulihan yang ketara, berkembang sebanyak 97.8 peratus mencecah RM157 bilion, menyumbang 8.6 peratus daripada ekonomi negara.

Sektor itu juga menyumbang kepada penciptaan pekerjaan dengan jumlah guna tenaga mencecah hampir 2.3 juta, mencerminkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 10.8 peratus.

Perbelanjaan pelancong antarabangsa dan domestik mengalami peningkatan memberangsangkan dengan perbelanjaan pelancong antarabangsa mencecah RM73.3 bilion dan perbelanjaan pelancong domestik meningkat kepada RM87.6 bilion.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.