Thursday 16 March 2023

Tourism Malaysia Raikan Penggiat Industri Pelancongan Domestik

 


KUALA LUMPUR, 16 Mac 2023 - Tourism Malaysia hari ini meraikan para penggiat industri pelancongan domestik terdiri daripada persatuan dan agensi pelancongan, hotel serta pengusaha produk pelancongan atas usaha berterusan menjayakan kempen promosi Cuti-Cuti Malaysia sepanjang tahun 2022.

Majlis Apresiasi Pelancongan Domestik itu telah disempurnakan oleh YB Tuan Khairul Firdaus Akhbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Turut hadir ialah Encik Iskandar Mirza Mohd Yusof, Pengarah Kanan Bahagian Domestik & Acara Tourism Malaysia serta Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) merangkap Ketua Pegawai Digital Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Sebanyak 21 pameran pelancongan domestik yang dianjurkan dengan penglibatan Tourism Malaysia seperti Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia 2022, MATTA Fair 2022 dan Tourism Malaysia Travel Fair, telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 394 agensi dan pengusaha produk pelancongan serta penginapan dari seluruh negara dengan jumlah jualan keseluruhan mencecah RM15.2 juta.

Di samping itu, di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (Pakej Rangsangan Ekonomi 2.0), penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia juga diteruskan dalam bentuk penebusan diskaun, baucar dan rebat menerusi kerjasama strategik dengan penggiat industri melibatkan lima kluster iaitu kluster pengangkutan darat, kluster pengangkutan udara, kluster persatuan pelancongan, kluster penginapan dan kluster pelancongan minat khas.

“Inisiatif ini telah memanfaatkan 248,450 pengguna dalam kalangan rakyat Malaysia dengan nilai penebusan keseluruhan berjumlah RM10.9 juta manakala hasil jualan yang direkodkan adalah sebanyak RM40.67 juta,” kata YB Tuan Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Antara rakan penggiat industri yang terlibat termasuklah syarikat penerbangan (Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MASwings), perkhidmatan pengangkutan darat seperti KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta persatuan pelancongan terdiri daripada Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia (MITTA) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA).

Selain itu, Tourism Malaysia turut bekerjasama dengan Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA), Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA), Persatuan Kampungstay & Homestay Malaysia (MKHA) serta beberapa persatuan penginapan seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) serta rangkaian Hotel Seri Malaysia.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.