Monday 6 March 2023

Persembahan kebudayaan pecah kesunyian Seremban

 


SEREMBAN: Pusat bandar Seremban yang sering dikatakan sebagai sebuah bandar sunyi tanpa ada daya tarikan akan diberikan lebih tumpuan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bagi dikunjungi orang ramai.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, untuk tujuan itu pihaknya akan lebih kerap mengadakan program berbentuk persembahan termasuk yang menonjolkan kebudayaan di Negeri Sembilan.

“Bandar Seremban memang sunyi jadi menerusi penganjuran program seperti acara Malam Pesona Seni ia dilihat dapat menghidupkan suasana bandar Seremban lama ini.

“MBS juga berhasrat selepas ini untuk menyediakan lebih peruntukan bagi mencantikkan bandar Seremban dengan mewujudkan lebih banyak taman rekreasi, ia bagi membolehkan warga Seremban rasa lebih seronok, dapat menjalankan aktiviti rekreasi dan meluangkan lebih banyak masa di bandar ini,” katanya pada majlis Malam Pesona Seni Sempena Ulang Tahun Ke-3 MBS di sini kelmarin.

Masri dalam pada itu berkata, MBS akan mengeluarkan produk-produk baharu termasuk penyediaan pakej menarik sebagai usaha merancakkan aktiviti pelancongan di bandar raya ini.

“MBS akan keluarkan produk-produk baharu pelancongan termasuk menerusi pakej yang disediakan, ia seperti gabungan pelancongan sejarah iaitu rumah-rumah tradisional di mukim Pantai yang turut mempunyai resort penginapan serta rangkaian restoran yang menampilkan juadah dan masakan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau menambah, bagi memastikan Seremban menjadi sebuah bandar raya yang selesa didiami, MBS mahu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai termasuk berkaitan pengurusan aduan.

“Kami mahu menguruskan aduan dengan secepat mungkin, ada beberapa perkara akan dilakukan untuk tujuan itu seperti mewujudkan unit khusus untuk melayan dan bertindak menyelesaikan aduan penduduk,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.