SEPANG: Ethiopian Airlines hari ini meraikan penyambungan semula penerbangannya dari Addis Ababa, Ethiopia ke Kuala Lumpur selepas dua tahun mengalami sekatan perjalanan berikutan pandemik Covid-19.
Syarikat penerbangan terbesar Afrika itu disambut dengan semburan air sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada pukul 5 petang dengan membawa seramai 190 penumpang.
Pengarah Urusan Ethiopian International Services, Mesfin Biru berkata, Ethiopian Airlines bakal mengendalikan sebanyak empat kali penerbangan dalam seminggu menggunakan pesawat B878 Dreamliner ultramoden.
Jelasnya, sebelum ini, syarikat penerbangan tersebut memulakan perkhidmatan antara Addis Ababa dan Malaysia dengan perkhidmatan tiga kali seminggu pada tahun 2012, sebelum ia digantung sementara pada 2021 akibat Covid-19.
“Kami amat teruja untuk kembali beroperasi dan melalui penyambungan semula penerbangan ini, ia memberi pilihan perjalanan yang mudah dan lancar antara Kuala Lumpur dan lebih daripada 60 destinasi di Afrika.
“Kuala Lumpur adalah destinasi pilihan untuk para pelancong bagi urusan perniagaan atau percutian dan kami berbangga untuk menyediakan pilihan perjalanan tersebut kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas sambutan penyambungan semula pesawat Ethiopian Airlines di KLIA Terminal 1 hari ini.
Mengulas lanjut, Mesfin berkata, penerbangan tersebut juga merupakan salah satu saluran yang meredakan hubungan diplomatik dan sosio-ekonomi antara Malaysia dan Afrika.
Justeru katanya, penyambungan semula perkhidmatan itu memainkan peranan penting dalam hubungan kedua-dua buah negara.
“Malaysia adalah sebuah negara yang hebat dari segi ekonomi dan hubungan dalam aktiviti perdagangan, sosial atau pelancongan bakal mengembangkan lagi prospek kedua-dua negara serta menjadi satu kelebihan yang besar buat Malaysia dan Afrika,” ujarnya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.