BAGAN SERAI: Pulau Orang Utan di tengah Tasik
Bukit Merah di sini, yang sebelum ini ditutup kepada pengunjung berikutan air
tasik itu surut, kini beroperasi semula.
Ketua Pengurusan Pulau Orang Utan, Norhafizi
Mohd. Hafizudin berkata, ia berikutan aras air di tasik itu kembali ke
paras normal.
Menurutnya, kini pengunjung ke Bukit Merah Laketown Resort (BMLR)
di sini, boleh datang melawat Pulau Orang Utan setelah dibuka sejak 23
Februari lalu.
“Kita sudah beroperasi semula, bot yang membawa
pengunjung boleh beroperasi setelah air di Tasik Bukit Merah kembali mencatat
paras normal. Terdapat berbagai pakej lawatan disediakan kepada pengunjung,”
katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan,
Pertanian dan Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria di BMLR di sini, hari ini.
Menurutnya, Pulau Orang Utan tidak beroperasi
sejak 18 Mac 2020 berikutan penularan Covid-19.
Katanya, pulau itu kemudian ditutup kepada
pengunjung ekoran aras air di Tasik Bukit Merah susut dua bulan lalu.
Jelasnya, sejak kembali beroperasi, jumlah
pengunjung ke pulau itu berkurangan berbanding sebelum Covid-19.
“Kami berharap pengunjung melawat pulau ini
untuk memberi sokongan mengekalkan Pulau Orang Utan sebagai satu destinasi
pelancongan dan membawa manfaat kepada pendidikan. Hasil tiket jualan ke pulau ini digunakan untuk
pembiayaan makanan dan ubat-ubatan haiwan di pulau ini. Sebab itu besar harapan
kami sekiranya masyarakat memberi sokongan dengan melawat pulau ini,” katanya.
Sementara itu, Razman berkata, aras air di Tasik Bukit Merah kini
kembali normal dengan bacaan 8.38 meter hari ini berikutan hujan.
“Kita
berharap apabila aras air di kolam ini bertambah, tidak ada lagi masalah
kepada pesawah daerah Kerian dan pengguna domestik,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.