MELAKA: Kerajaan negeri melancarkan perkhidmatan bas pelancongan elektrik singgah-singgah dan orang ramai boleh menaikinya secara percuma bermula 11 Mac hingga penghujung Mei tahun ini, sempena meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, ikon dan produk baharu Melaka itu dijangka akan dimanfaatkan seramai 290,000 pengguna setahun selain dapat menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara.
Menurut beliau, bas itu memiliki paparan maklumat pelancongan secara audio visual, menggunakan e-tiket dengan pemantauan statistik pengunjung secara masa nyata dan jadual perjalanan di semua lokasi perhentian.
“Perkhidmatan bas ini bermula dari Melaka Sentral dan akan melalui enam perhentian melibatkan lokasi pelancongan, tempat bersejarah yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta kawasan pantai di Klebang.
“Antara destinasi laluan bas ini adalah ke Zoo Melaka, Quayside, Menara Taming Sari, Muzium Kapal Selam dan Dataran Klebang.
“Buat masa ini, hanya satu bas sahaja akan beroperasi sementara tujuh buah bas lagi akan memulakan operasi selewat-lewatnya hujung tahun ini. Ini bagi memastikan kekerapan perjalanan dan pertambahan laluan ke lokasi-lokasi pelancongan yang lain,” katanya dalam sidang akhbar majlis pelancaran bas berkenaan.
Hadir sama Pengerusi Panorama Melaka, Datuk Roslan Ahmad.
Bas singgah-singgah mampu membawa 44 penumpang pada satu-satu masa dan dikuasakan dengan lapan kotak bateri yang mampu menempuh jarak perjalanan sehingga 200 kilometer.
Bas tersebut dilengkapi dua komponen iaitu ruang berhawa dingin di bahagian hadapan dan ruang terbuka di bahagian belakang.
Sementara itu, Roslan memberitahu, bas Singgah-singgah bercirikan elektrik tanpa karbon monoksida dengan ruangan dalaman yang lebih moden serta bebas tunai.
Katanya, pihaknya mengambil tanggungjawab untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri ke arah negeri hijau.
“Panaroma Melaka akan memastikan perkhidmatan bas yang lebih efektif dan bebas karbon terutama dalam kawasan pentadbiran Melaka Tengah, lokasi pelancongan dan kawasan-kawasan yang telah digazetkan oleh UNESCO,” katanya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.