Tuesday, 8 March 2022

Program MOTAC Bersama Penggiat Industri Dan Program Bicara Ilmu @ Johor Bahru

 


7 Mac 2022 - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah mengadakan Program MOTAC bersama Penggiat Industri dan Program Bicara Ilmu, di Johor Bahru hari ini.

Program dihadiri oleh YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta barisan pengurusan MOTAC.

Program ini adalah usaha Kementerian dalam mendekatkan diri bersama penggiat industri pelancongan, seni dan budaya di Negeri Johor. Pengisian program termasuklah Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Penggiat Industri Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Johor, Kempen Jom Balik Kampung Homestay Malaysia dan Bicara Ilmu: Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Seramai 40 penerima bantuan kewangan telah dijemput sebagai wakil dalam sesi Penyampaian Sumbangan Penggiat Industri Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Johor. Mereka terdiri daripada Pemandu Pelancong, Agensi Pelancongan dan Pengembaraan (TOBTAB), Syarikat Malaysia My Second Home (MM2H), Spa serta Pusat Urut Kaki (PUK) dan Pengusaha Program Pengalaman Homestay Malaysia.

Bayaran sebanyak RM9,000.00 akan diberikan kepada Syarikat TOBTAB dan MM2H. Manakala Spa dan PUK akan menerima sebanyak RM3,000.00. Bagi Pemandu Pelancong, mereka akan menerima sebanyak RM1,500.00 dan pengusaha Inap Desa (Homestay) sebanyak RM1,800.00. Bayaran-bayaran ini akan dilaksanakan sebanyak 2 kali mulai bulan Mac dan Mei 2022.

Dato' Sri Hajah Nancy turut melancarkan Kempen Jom Balik Kampung Homestay Malaysia anjuran Tourism Malaysia, selaras dengan pelancaran portal jomhomestay.com yang telah disempurnakan pada 27 November 2021. Kempen ini bertujuan untuk memperluaskan promosi dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memilih inap desa sebagai destinasi pelancongan serta penginapan alternatif selain hotel. Kempen ini juga bagi membantu pengusaha inap desa termasuk golongan belia dalam menghasilkan pakej-pakej menarik serta mengetengahkan produk-produk tempatan melalui media sosial.

Kempen Jom Balik Kampung Homestay Malaysia ini akan diperluaskan ke seluruh negara sebagai salah satu inisiatif Tourism Malaysia untuk meningkatkan pendapatan para pengusaha inap desa yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Turut menjadi salah satu kandungan program ini ialah Bicara Ilmu yang memfokuskan kepada topik Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895. Tujuan diadakan majlis Bicara Ilmu ini adalah supaya kakitangan Kerajaan dan masyarakat hari ini dapat memahami kepentingan hidup dalam suasana penuh muafakat, berintegriti dan harmoni selaras dengan roh penulisan undang-undang itu sendiri.

Dato' Sri Hajah Nancy berharap agar program bersama penggiat industri ini dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan bagi memberi ruang dan peluang kepada pemegang taruh MOTAC bekerjasama secara strategik dalam memperkasakan lagi industri ini.

-MOTAC.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.