Friday, 4 March 2022

Firefly beri pilihan pelanggan menjelang musim perayaan

 


KOTA KINABALU: Laluan baharu Firefly iaitu Pulau Pinang-Kota Kinabalu akan memberi peluang kepada pelanggan memilih lebih daripada satu syarikat penerbangan menjelang musim perayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See berkata, dengan penerbangan menepati masa 94 peratus yang direkodkan oleh syarikat penerbangan di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) itu, mereka yakin mampu memberi saingan di pasaran.

“Kini, pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan untuk menaiki penerbangan dari Pulau Pinang ke Sabah, begitu juga sebaliknya.

“Laluan baharu ini akan bermula pada 11 April dengan sekali penerbangan sehari dan kekerapan penerbangan ditambah kepada dua kali sehari bermula 25 April sempena musim perayaan Aidilfitri.

“Menjelang musim perayaan, harga tiket penerbangan akan meningkat susulan permintaan yang tinggi daripada pelanggan jadi, kita nasihatkan pelanggan supaya menempah tiket penerbangan lebih awal,” katanya ketika sidang akhbar semalam.

Menurut beliau, operasi penerbangan laluan baharu Firefly itu dimulakan lebih awal kerana tidak mahu mengambil risiko pengoperasian semasa waktu kemuncak.

Philip berkata, syarikat penerbangan berkenaan menggunakan pesawat Boeing 737-800 yang mampu memuatkan 189 penumpang pada satu-satu masa.

Mengulas lanjut katanya, Sabah adalah destinasi pelancongan menarik bagi pelancong domestik yang berada di Pulau Pinang dan pembukaan laluan itu pasti memudahkan penduduk di kedua-dua negeri ini untuk melancong.

Walau bagaimanapun katanya, cabaran mereka adalah untuk memperluaskan pasaran menerusi jaringan kerjasama dengan Malaysia Airlines (MAS) bagi mewujudkan pelbagai hentian bagi memudahkan penumpang ke Langkawi mahupun Kuala Lumpur.

Begitu juga di Sabah, syarikat itu akan bekerjasama dengan MASWings untuk menghubungkan penumpang dari Kota Kinabalu ke destinasi lain seperti Sandakan dan Tawau.

Dalam pada itu, Philip berkata, Firefly turut merancang memperluaskan pasaran ke laluan antarabangsa pada tahun hadapan.

“Sebelum ini, MAS pernah beroperasi di beberapa negara seperti Tokyo, Taipei dan juga Korea Selatan.

“Kami menyasarkan untuk mengambil alih laluan antarabangsa ini mungkin pada tahun hadapan bagi membolehkan penumpang menaiki penerbangan terus dari Kota Kinabalu,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.