Wednesday, 9 March 2022

Berkuda, karavan tarikan Kok Mak Stable

 


PADANG BESAR: Kampung Kok Mak yang jaraknya kira-kira enam kilometer dari pekan Padang Besar adalah penempatan biasa namun dirancakkan dengan aktiviti berkuda diusahakan seorang anak muda.

Menariknya, Kok Mak Stable yang diusahakan Mat Farhan Mohamad, 35, itu turut menyediakan karavan dan rumah hobbit yang terkenal dalam filem The Lord of The Rings sebagai salah satu tarikan pengunjung ke lokasi berkenaan.

Lebih istimewa, pengunjung juga akan menikmati pemandangan seperti ladang pertanian dan penternakan haiwan sambil menunggang kuda di kawasan berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mat Farhan berkata, stable atau ladang kuda tersebut mula dibuka pada 2018 dan sehingga kini sebanyak tujuh ekor kuda dengan kebanyakan adalah baka Polo dari Argentina dan Quarterpaint dari Amerika.

Katanya, mereka lebih fokus dalam memberi pendidikan kepada pengunjung mengenai aktiviti tersebut seperti mengajar asas menunggang, imbang dan mengawal kuda.

“Kita bimbing mereka yang menunggang kuda ini. Sejak mula dibuka, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan termasuk dari pengunjung luar negeri ini. Aktiviti tersebut secara tidak langsung membantu merancakkan pelancongan di negeri ini.

“Kita menawarkan pakej asas menunggang kuda iaitu RM60 bagi satu sesi selama 40 minit. Joyride pula RM50 bagi 30 minit dan outride di Lembah Chuping pula RM250 bagi dua jam. Pakej penginapan di rumah hobbit pula RM150 semalam,” katanya.

Tambah Mat Farhan, karavan yang disediakan di sini pula adalah yang pertama di Perlis dengan mempunyai kemudahan katil, ruang tamu, dapur, meja makan dan tandas.

Jelasnya, karavan tersebut dibeli dari United Kingdom dan tiba di sini sejak dua bulan lalu.

“Pakej karavan untuk enam orang adalah RM1,000 iaitu bergerak keluar ke Lembah Chuping, Santuari Timah Tasoh dan Bukit Chabang manakala jika tidak keluar pula adalah RM600 semalam,” katanya.

Katanya, lokasi tersebut akan ditambah baik dari semasa ke semasa memandangkan sambutan semakin memberangsangkan saban hari khususnya pada cuti sekolah dan hujung minggu.

-utusan online.

Kok Mak Stable | Facebook

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.