Wednesday, 9 March 2022

Pembukaan Sempadan Negara Dapat Memperkasakan Kembali Sektor Pelancongan Antarabangsa


 

9 Mac 2022 - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri berhubung pembukaan sempadan negara bermula 1 April 2022, selaras dengan situasi negara yang akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik' juga pada tarikh yang sama.

Pengumuman ini merupakan satu berita gembira buat penggiat industri pelancongan kerana ia dapat memberi kelegaan dan sinar buat mereka dalam menjana semula ekonomi melalui sektor pelancongan antarabangsa setelah dunia dilanda pandemik COVID-19 sejak dua tahun yang lalu, menyebabkan pintu sempadan negara ditutup kepada pelancong luar.

Pengumuman yang dibuat adalah melibatkan perkara-perkara berikut:

Rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana- mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

Rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan. Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi Traveller dalam MySejahtera.

Individu yang telah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK- Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan. Walau bagaimanapun, bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi, akan diperincikan prosedurnya oleh Menteri Kesihatan; serta

Bagi negara yang masih menutup pintu sempadannya, rakyat masih boleh memanfaatkan kaedah Vaccinated Travel Lane (VTL) yang telah dipersetujui Kerajaan Malaysia dengan negara-negara yang terbabit.

YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, keputusan pembukaan sempadan negara kepada pelancong luar ini berupaya merancakkan kembali pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19, terutama yang melibatkan keseluruhan rantaian pemain industri pelancongan, seni dan budaya di negara ini. MOTAC kekal optimis industri ini akan kembali bangkit dan berupaya menjadikan Malaysia kembali popular dalam kalangan pelancong antarabangsa.

Adalah dinasihatkan agar seluruh penggiat industri pelancongan dan kebudayaan untuk melakukan persediaan awal dalam menerima kemasukan pelancong dari luar. Pemain- pemain industri diseru untuk terus mempergiatkan promosi serta lebih kreatif dalam memasarkan produk dan lokasi pelancongan Malaysia di mata dunia.

MOTAC juga akan sentiasa memberikan kerjasama dan menyokong segala usaha yang dilakukan oleh seluruh agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April nanti.

-MOTAC.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.