Setiap tahun, keindahan alam semula jadi negara ini memikat puluhan juta pelancong domestik dan antarabangsa, dan ia sememangnya satu anugerah Tuhan kepada Malaysia. Dari gunung-ganang yang menyimpan khazanah alam berusia ratusan juta tahun sehinggalah ke pulau-pulau yang menawarkan lokasi selam berkelas dunia, semuanya ada di negara ini. Namun sebenarnya, masih banyak aset yang belum dieksploitasi secara maksimum, antaranya yang berbentuk konsep agro pelancongan.
Di Australia dan Amerika Syarikat, pakej melawat ladang epal atau anggur yang menawarkan peluang kepada pengunjung memetik sendiri buah-buah berkenaan telah lama diketengahkan sebagai satu cabang pelancongan yang mendapat sambutan di negara tersebut.
Justeru, apa kurangnya negara kita yang juga memiliki buah-buahan tempatan yang enak dan istimewa. Bagi mereka yang masih tercari-cari lokasi terbaik bagi merasai sendiri pengalaman agro pelancongan, Felda Residence Tekam yang terletak di Jerantut, Pahang merupakan pilihan terbaik. Pusat penginapan yang dikelilingi dusun buah-buahan dan ladang sawit itu terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak (PPPTR) Sungai Tekam, Jerantut.
Sebenarnya, Felda Residence Tekam sudah lama dikenali oleh warga Felda, selain semakin menjadi pilihan kakitangan kerajaan dan swasta yang ingin berkursus dalam suasana damai sambil menikmati buah-buahan tempatan. Di situ juga, pengunjung berpeluang melawat dusun dan ladang sawit yang mana ia satu pengalaman mengujakan, khususnya kepada anak-anak yang membesar di bandar.
Ini adalah waktunya untuk mereka mengenali lebih dekat pokok buah-buahan tempatan seperti durian dan rambutan, di samping kelapa sawit yang menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara. Lebih menarik, pusat penginapan ini tidak hanya menawarkan konsep agro pelancongan semata-mata, sebaliknya turut mempunyai padang golf sembilan lubang buat kaki golf melepaskan gian mereka.
Selain itu, di Felda Residence Tekam sendiri terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan resort peranginan lain seperti restoran, kolam renang, gelanggang tenis dan padang bola sepak. Lebih istimewa, pengunjung juga boleh menjalankan pelbagai aktiviti riadah seperti merentas hutan, flying fox, memancing dan berbasikal.
Pengurus Felda Residence Tekam, Mohd. Zainuddin Masduki berkata, lokasi pusat itu terletak kira-kira 190 kilometer dari Kuala Lumpur dan berhampiran dengan Bandar Tun Abdul Razak, Jengka. Katanya, sejak dibuka pada 1990, Felda Residence Tekam yang terletak di kawasan seluas 2,400 hektar sememangnya mendapat sambutan yang cukup baik.
''Keseluruhannya, Felda Residence Tekam menawarkan 30 bilik executive suite, lapan bilik keluarga, tiga bilik superior, 18 bilik deluxe dan 60 calet, di samping asrama yang menyediakan 176 katil. "Terdapat juga bilik seminar dinamakan Seroja, Melati, Melor, Anggerik dan Kemboja," katanya.
Mohd. Zainuddin berkata, pihaknya menawarkan pakej keluarga, kumpulan dan pelajar dengan menawarkan lawatan sambil belajar ke ladang sawit atau ke gugusan gua Kota Gelanggi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari resort itu. Tambahnya, para pengunjung juga berpeluang berkunjung ke Taman Negara Pahang yang popular di kalangan pelancong dalam dan luar negara. ''Felda Residence Tekam turut menjadi pilihan agensi kerajaan dan syarikat korporat untuk mengadakan seminar kerana suasananya jauh daripada kesibukan ibu kota," ujarnya.
-Utusan Online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.