Monday, 24 October 2011

Legoland tawar pekerjaan

BATU PAHAT 23 Okt. – Taman Tema Legoland yang bakal beroperasi di Nusajaya tahun depan menawarkan 1,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang terutama berkaitan khidmat pelanggan, pengurusan dan hospitaliti.

Naib Presiden Kanan Pembangunan IDR Resorts (IDR Resorts) Sdn. Bhd., K. Sugumaran berkata, jumlah tenaga kerja yang diperlukan dijangka meningkat kepada 1,500 orang pada 2013. Beliau berkata, keutamaan dalam pengambilan tenaga kerja akan diberikan kepada rakyat tempatan terutamanya anak watan negeri ini. “Oleh itu, saya ingin menyarankan kepada anak-anak muda tempatan supaya merebut peluang ini, bukan sekadar untuk mendapat pekerjaan atau meningkatkan taraf hidup, tetapi untuk menimba pengalaman bekerja dengan syarikat-syarikat bertaraf antarabangsa.

“Diharapkan kita semua dapat berganding bahu mewujudkan negara berpendapatan tinggi dengan Iskandar Malaysia menjadi salah satu penyumbang utama bagi mencapai matlamat itu,” katanya semasa ditemui pada Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (Kepak) 2011.

Kepak 2011 di Batu Pahat yang berlangsung mulai Khamis lepas dan berakhir hari ini di Dewan Jubli Intan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Ab. Aziz Kaprawi. Utusan Malaysia adalah media rasmi Kepak 2011. Kepak di Batu Pahat yang bermula Khamis lalu akan berakhir esok.

Sempena Kepak, IDR Resorts menandatangani memorandum kerjasama dengan empat pusat latihan yang bertauliah dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan profesional bagi operasi taman tema itu.
Pusat-pusat yang terlibat adalah Kolej Komuniti Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang berpusat di Johor Bahru, Johor; Kolej Negeri Chedang Kampus Seremban dan East West College di Seremban, Negeri Sembilan dan Kagumas Culinary Academy di Bangi, Selangor. Menerusi kerjasama itu, semua pusat tersebut akan melatih 500 orang dalam pelbagai bidang dan mereka yang mempunyai keterampilan bakal diserap sebagai tenaga kerja Taman Tema Legoland.

Taman Tema Legoland di Nusajaya atau Legoland Malaysia adalah yang pertama seumpamanya di Asia, dibina di kawasan seluas 31 hektar dan dibangunkan oleh IDR Resorts, anak syarikat IIB bersama Merlin Entertainments dengan kos RM720 juta. Legoland Malaysia adalah Taman Tema Legoland yang keenam di dunia selepas Legoland Billund, Legoland Windsor, Legoland California, Legolang Deutschland dan Legoland Florida.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.