Saturday, 29 October 2011

Keasyikan penginapan Singgahsana Lodge


RUANG resepsi yang menampilkan elemen dan sentuhan Sarawak asli di Singgahsana Lodge di Kuching, Sarawak.

Singgahsana Lodge, nama ini mungkin janggal atau tidak diberi perhatian serius sebagai tempat penginapan pilihan oleh pelancong tempatan yang berkunjung ke Kuching, Sarawak, walaupun ia terletak di lokasi strategik.

Mungkin kerana pihak pengurusannya tidak pernah mengeluarkan belanja untuk tujuan promosi melalui pengiklanan sejak ia mula beroperasi tujuh tahun lalu. Namun, di kalangan pelancong asing, Singgahsana Lodge merupakan satu nama yang agak terkenal dan mendapat ulasan yang baik di laman web panduan pengembaraan terkemuka seperti lonelyplanet.com, hostelworld.com dan tripadvisor.com.

Selain itu, testimoni mulut ke mulut yang disebarkan oleh tetamu yang pernah menginap di Singgahsana Lodge juga menyebabkan ia sentiasa meriah dengan kehadiran pelancong asing. Benarlah kata pepatah, ‘hanya jauhari yang mengenal manikam’, ia kerana Singgahsana Lodge itu sendiri diasaskan oleh pasangan suami isteri, Donald dan Marina yang juga merupakan seorang pengembara tegar.

Sebagai pengembara, mereka berdua memahami kehendak para pelancong yang mahukan tempat penginapan yang tidak membebankan kewangan, namun masih berpeluang menyelami suasana tempatan yang tulen. “Jika melancong dengan bajet yang terbatas, jarang sekali kita berpeluang menikmati intipati tempatan sebenar kecuali jika menginap di hotel warisan yang mewah.

“Sebagai peminat seni, kami cuba menerapkan elemen dan sentuhan Sarawak asli di sini supaya setiap tetamu dapat merasakan mereka berada di bumi eksotik ini setiap kali bangun tidur di dalam bilik yang dipenuhi dekor tempatan yang unik,” kata Marina kepada S2 baru-baru ini.


KONSEP tiada televisyen di dalam bilik berjaya mewujudkan kemesraan dengan tetamu lain.

Itulah antara keunikan hiasan dalaman di Singgahsana Lodge, anda akan merasakan benar-benar berada di Sarawak dengan artifak-artifak unik etniknya dijadikan hiasan dalaman. Penerapan elemen Sarawak dilakukan dengan teliti walaupun ia hanya membabitkan perkara yang kecil seperti papan tanda nama bilik menggunakan kulit kayu.

Turut menghiasi dinding ialah koleksi gambar-gambar yang dirakamkan oleh Donald serta Marina sewaktu mereka berdua melancong di seluruh dunia dan ia dibuka untuk jualan. Selain aspek hiasan dalaman, Singgahsana Lodge turut mempunyai keistimewaan lain seperti polisi kebersihannya yang mewajibkan semua tetamu menanggalkan kasut dan alas kaki.

Merokok juga tidak dibenarkan kecuali di kawasan khas dan berdasarkan maklumat daripada laman webnya, www.singgahsana.com, tetamu yang didapati melanggar peraturan berkenaan akan dikenakan denda RM50 atau diusir tanpa sebarang bayaran balik.

Penulis sendiri pernah menginap di Singgahsana Lodge sewaktu pertama kali menjejakkan kaki di bumi Kenyalang penghujung Disember tahun lalu dan ternyata ia memberikan satu dimensi baru. Tidak sekadar menikmati keasyikan hiasan dalaman ala Sarawak, penulis juga berpeluang bergaul dengan pelancong asing dari seluruh dunia yang tidak lokek berkongsi pengalaman asalkan kita tidak berat mulut.

Konsep tiada televisyen di dalam bilik berjaya mewujudkan kemesraan dengan tetamu lain yang sama-sama berkongsi televisyen di lobi utama mahupun layar besar di bar terbuka yang terletak di tingkat paling atas Singgahsana Lodge.

Bar yang hanya dibuka pada waktu malam itu merupakan tempat istirehat yang mendamaikan kerana ia menyajikan pemandangan indah Bandaraya Kuching pada waktu malam antaranya berlatarbelakangkan Kuching Waterfront dan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang serba moden. Pangkin kayu dan buaian rajut juga disediakan untuk tetamu bersantai bersama rakan-rakan selepas seharian menjelajah destinasi pelancongan menarik di sekitar Bandaraya Kuching.

Untuk kelainan, jika tiada teman untuk berbicara bolehlah meluangkan masa membaca coretan tetamu lain dari seluruh dunia pada dinding bar terbuka berkenaan yang adakalanya boleh membuatkan anda tersenyum sendirian.

-Utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.