Sunday, 30 January 2011

Pelajar Singapura lawat Tanjung Piai

PONTIAN 28 Jan - Taman Negara Tanjung Piai di Serkat di sini, bukan sahaja dikenali sebagai destinasi pelancongan malah menjadi pilihan bagi pelajar luar negara, contohnya sekumpulan 200 pelajar Sekolah Menengah East View, Singapura yang berminat mengenali tanah penghujung benua Asia ini baru-baru ini. Program lawatan pelajar sekolah anjuran sebuah syarikat perunding motivasi Singapura, Innotrex selama tiga hari dua malam ini tidak terhad kepada lawatan ke Taman Negara malah mereka turut berkunjung ke kawasan perkampungan berhampiran, Inap Desa Tanjung Piai dan Tanjung Piai Resort.

Jurulatih daripada syarikat tersebut, Sheikh Ahmad Sheikh Hussin berkata, program seperti itu diadakan bertujuan mendedahkan pelajar dengan aktiviti di luar bilik darjah bagi memberikan mereka motivasi dan menanamkan keyakinan kepada diri masing-masing melalui beberapa program yang telah diatur. Katanya lagi, setiap tahun Innotrex menawarkan pakej aktiviti luar negara kepada pihak sekolah melibatkan Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam dan sebagainya. Beberapa pelajar yang ditemui oleh Utusan Malaysia merasa teruja kerana pertama kali menjejakkan kaki ke Taman Negara Tanjung Piai yang sebelum ini hanya dikenali melalui laman web.

Siok Fang, 15, berkata, ini adalah lawatan pertamanya ke Taman Negara Tanjung Piai yang disifatkannya sebagai cantik dengan pelbagai jenis unggas dan kehidupan lain. "Sebelum ini saya hanya mengetahui melalui media massa atau Internet, tetapi hari ini saya benar-benar berada di tanah penghujung benua Asia ini," katanya lagi. Bagi Raudah Mohd. Yassin, 19, dia suka melihat pelbagai jenis tumbuhan yang terdapat di Taman Negara Tanjung Piai yang dikatakan mempunyai peranan bagi mengawal ekosistem. Selain itu katanya, papan-papan tanda penunjuk yang memaparkan jenis-jenis tumbuhan dan haiwan yang memudahkan pengunjung mendapat maklumat.

"Saya juga tertarik dengan usaha yang dilakukan bagi terus memelihara alam sekitar khususnya tanaman pokok bakau yang berperanan sebagai penampan ombak dan sebagainya," jelasnya. Arjun Selambram, 19, pula terpegun dengan suasana perkampungan di kawasan Tanjung Piai yang merupakan pertama kali dikunjungi dengan pelbagai jenis tanaman seperti kelapa sawit, kelapa, pisang, kopi dan sebagainya di beberapa perkampungan berhampiran. "Seronok dapat melihat perkara-perkara yang baru dan jarang ditemui di negara saya serta dapat merapatkan hubungan dengan rakan sekolah yang lain," katanya lagi. Bagi Muhammad Faiz Fakhrullah Sahabudein, 16, menjejakkan kaki ke Taman Negara Tanjung Piai merupakan suatu yang tidak diduga dan dia sangat teruja melihat deretan kapal-kapal dagang yang berlabuh di persisiran pantai Tanjung Piai, yang menambahkan lagi keindahan taman negara tersebut.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.