Saturday, 22 January 2011

Ketenangan Inap Desa Sinaran Baru

JOHOR BAHRU 21 Jan. – Siapa sangka di tengah-tengah kepesatan pembangunan bandar raya Johor Bahru, terselit sebuah lokasi istimewa yang mampu memberikan ketenangan kepada setiap warga kota yang mahu melarikan diri daripada kesibukan harian. Terletak 20 kilometer dari ibu negeri Johor atau kira-kira 15 minit pemanduan, inap desa Sinaran Baru, Kempas adalah lokasi terbaik bagi warga kota untuk mencari ketenangan tanpa perlu pergi jauh. Berlatarbelakangkan suasana kampung, pokok getah dan rumah tradisional, setiap pengunjung atau pelancong pasti akan terpesona dengan landskap semula jadi yang disediakan dan mungkin membuatkan mereka tertanya-tanya sama ada mereka masih berada di Johor Bahru.

Mula diusahakan pada 2006, inap desa tersebut kini memiliki lebih daripada 60 rumah yang terdiri daripada rumah tradisional dan rumah moden sesuai dengan cita rasa pelancong dalam dan luar negara. Pengerusi inap desa Kampung Sinaran Baru, Norbi Ahmad yang juga salah seorang peserta inap desa tersebut berkata, pelbagai pakej disediakan kepada pelancong bersesuaian dengan kehendak mereka yang mendambakan kelainan. Menurut Norbi, bermula daripada harga serendah RM75 sehingga RM295 untuk pakej bermalam selama tiga hari, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai program menarik yang lebih bertumpu kepada aktiviti harian masyarakat di situ.

“Setibanya pelancong di sini mereka akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan tradisional iaitu paluan kompang selain akan disajikan dengan makanan ringan yang terkenal di sini iaitu cendawan goreng sebelum dibawa melawat lokasi penanaman cendawan. “Kemudian mereka akan dibawa ke pusat penternakan ikan keli sebelum dibawa untuk merasai sendiri pengalaman menoreh getah sebelum diberi pendedahan kepada permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Norbi berkata, inap desa Kampung Sinaran Baru itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelancong Singapura kerana lokasinya yang begitu hampir dengan negara pulau itu.

Tambahnya, mereka lebih tertarik dengan suasana kampung yang terdapat di sini kerana tidak dapat merasai suasana sedemikian di negara mereka. “Selain itu, pada 2009, inap desa ini juga pernah menerima kunjungan pelajar dari Jepun dan apa yang dapat dilihat mereka gembira berada di sini selain mampu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling,” ujarnya. Beliau memberitahu, selain daripada aktiviti sukaneka dan lawatan ke kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS), para pelancong juga akan dihidangkan dengan pelbagai masakan tempatan yang dimasak sendiri oleh pemilik inap desa.

“Menu utama yang disajikan kepada mereka ialah nasi lemak ayam kampung, kari ayam serta daging masak kicap. Selain itu mereka juga digalakkan untuk sama-sama menyediakan hidangan bersama-sama,” katanya. Beliau memberitahu, setiap rumah yang disediakan memiliki kekuatan masing-masing terutamanya dari aspek kebersihan dan keselesaan kerana dua perkara tersebut merupakan asas penting bagi menarik orang ramai untuk datang ke inap desa berkenaan. Setiap pemilik rumah akan menjaga sendiri kebersihan rumah masing-masing dan pada masa sama menggiatkan usaha untuk memperindahkan landskap kediaman mereka. “Memandangkan kawasan ini merupakan sebuah kampung tradisional, konsep gotong-royong adalah sesuatu yang sangat dititikberatkan dalam memastikan keseluruhan kampung sentiasa berada dalam keadaan rapi,” katanya lagi.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.