Thursday, 12 March 2026

Tourism Malaysia Perkukuh Industri Pelancongan Sabah Melalui Taklimat Geran Sempena Visit Malaysia 2026

 

KOTA KINABALU — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Tourism Malaysia, dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah hari ini telah menganjurkan sesi taklimat berkaitan bantuan geran pelancongan bersama penggiat industri dan pemegang taruh sektor pelancongan di Kota Kinabalu, Sabah. 

Program ini bertujuan memberikan penerangan menyeluruh mengenai Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) serta pelan strategik yang telah dirangka bagi memperkukuh sektor pelancongan negara. Antara perkara yang turut dikongsikan ialah pelbagai bentuk insentif yang ditawarkan kepada penggiat industri termasuk Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK), Geran Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) serta Skim Insentif Seni Ruang, Kepakaran dan Khidmat Nasihat yang disediakan oleh JKKN. 

Sesi taklimat tersebut telah disertai seramai 400 peserta yang terdiri daripada wakil industri, rakan strategik serta pihak berkepentingan utama dalam sektor pelancongan. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan di bawah kempen VM2026 bagi merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan negara khususnya di Sabah yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya serta produk pelancongan unik. 

Menurut Cik Haryanty Abu Bakar, Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Sabah, “Kempen Melawat Malaysia 2026 bukan sekadar sebuah kempen pelancongan, sebaliknya merupakan satu gerakan nasional yang mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian, kemesraan serta kepelbagaian kaum dan budaya yang menjadi identiti Malaysia.” 

Beliau turut menambah, “Sesi taklimat siri ketiga ini diharap dapat memberi inspirasi kepada para penggiat serta pemegang taruh industri pelancongan di Kota Kinabalu untuk bergerak secara lebih proaktif dan inovatif dalam melaksanakan aktiviti promosi serta pembangunan produk pelancongan sekali gus menarik lebih ramai pelawat ke Sabah.” 

Melalui kempen VM2026, Malaysia terus mempergiat usaha memperkukuh sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Momentum positif ini turut disokong oleh prestasi yang memberangsangkan pada tahun 2025 dengan jumlah 42.2 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Bertemakan Surreal Experiences, kempen VM2026 akan menampilkan pelbagai program berskala nasional sepanjang tahun termasuk festival, acara kebudayaan, pameran serta sambutan komuniti yang dirangka khas bagi menarik pelawat dari seluruh dunia. 

Dengan memanfaatkan potensi Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul di rantau ini, VM2026 dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan ketibaan pelawat, membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta memperkukuh imej negara di peringkat antarabangsa. Selain merancakkan aktiviti ekonomi, kempen ini turut memberi manfaat kepada komuniti setempat sambil menyokong perkembangan sektor berkaitan seperti pengangkutan, peruncitan, kraf tangan serta industri kecil dan sederhana (IKS).

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.