KUALA LUMPUR: Perbelanjaan pelancongan domestik Malaysia meningkat 12.4 peratus pada suku tahun keempat 2025 kepada RM32.6 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan tahunan sebanyak RM121 bilion, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Prestasi itu mencerminkan momentum pertumbuhan sektor pelancongan domestik yang terus kukuh, disokong permintaan dalam negara serta peningkatan aktiviti perjalanan bermusim, khususnya ketika cuti sekolah dan musim perayaan.
Bilangan pelawat domestik turut meningkat kepada 74 juta pada suku berkenaan, naik 10.8 peratus tahun ke tahun, manakala secara suku ke suku mencatatkan pertumbuhan 2.0 peratus berbanding suku ketiga 2025.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata
peningkatan aktiviti perjalanan dalam kalangan rakyat tempatan menjadi pemacu
utama prestasi sektor itu.
Beliau berkata, perbelanjaan lebih tinggi bagi penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan serta aktiviti runcit turut menyumbang kepada pengukuhan sektor pelancongan domestik.
"Indikator industri berkaitan pelancongan menunjukkan trend
sejajar apabila ketibaan penumpang domestik di lapangan terbang meningkat 17.9
peratus tahun ke tahun, manakala jualan runcit bahan api automotif berkembang
7.1 peratus, mencerminkan mobiliti yang lebih tinggi.
"Subsektor penginapan juga mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan hasil meningkat 14.7 peratus tahun ke tahun, selain kadar penghunian hotel yang bertambah merentasi semua kategori.
"Bagi keseluruhan tahun 2025, jumlah pelawat domestik mencecah 290.1 juta, meningkat 11.5 peratus berbanding 260.1 juta pada 2024," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Uzir menambah, perbelanjaan pelancongan domestik pula mencatatkan pertumbuhan 13.3 peratus tahun ke tahun kepada RM121 bilion, sekali gus mencerminkan peningkatan sumbangan sektor itu kepada ekonomi domestik.
"Secara keseluruhan, sektor pelancongan domestik terus menjadi
antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, selain menyokong perusahaan
mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta memperkukuh daya tahan ekonomi,"
katanya.
-berita harian online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.