Monday, 9 March 2026

Malaysia raih 'dividen keamanan' sektor pelancongan - Penganalisis

 

KUALA LUMPUR: Malaysia secara tidak langsung sedang menikmati manfaat berskala besar dalam sektor pelancongan domestik susulan ketegangan geopolitik yang melanda beberapa negara di Asia. 

BIMB Securities Research berkata lonjakan luar biasa ketibaan pelancong asing itu boleh disifatkan sebagai 'dividen keamanan' yang memacu pemulihan industri secara tidak dijangka. 

Menurutnya, dalam landskap serantau yang semakin dipengaruhi pergeseran geopolitik dan kebimbangan keselamatan, Malaysia secara tidak sengaja meletakkan dirinya sebagai destinasi neutral, selamat dan kompetitif dari segi harga. 

Pasaran pelancong antarabangsa utama seperti China, katanya, menyaksikan perubahan ketara dalam pemilihan destinasi percutian apabila pelancong mengelak negara tradisional seperti Jepun, Korea Selatan dan beberapa wilayah Barat susulan ketegangan diplomatik.

Pada masa sama, destinasi bajet popular ASEAN seperti Thailand dan Kemboja masih berdepan cabaran reputasi keselamatan.  

"Kejayaan Malaysia mengekalkan imej selamat turut diperkukuh oleh ketiadaan insiden penculikan berprofil tinggi, menjadikannya destinasi pilihan bagi keluarga dan pengembara solo wanita," katanya dalam nota penyelidikan.

Mengulas lanjut, BIMB Securities Research berkata peningkatan kemasukan pelancong itu turut memberi limpahan positif kepada ekonomi domestik, termasuk pembelian barangan perhiasan emas tulen secara besar-besaran dalam kalangan pengembara elit Asia Selatan. 

Menurutnya, aliran pendapatan berterusan itu dipacu ketegangan antara India dan Bangladesh yang mengganggu perjalanan rentas sempadan, sekali gus mengalihkan tumpuan pelancong elit ke Malaysia. 

"Momentum ini turut memacu sektor penerbangan komersial, dengan syarikat seperti AirAsia X dijangka mencatat rekod penumpang tertinggi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. 

"Situasi ini juga dijangka mewujudkan aliran imbangan perjalanan tunai bersih yang berlebihan, menyumbang kepada kestabilan dan potensi pengukuhan nilai ringgit," katanya. 

BIMB Securities Research menegaskan limpahan ekonomi daripada ketibaan pelancong elit itu membuktikan Malaysia berjaya memanfaatkan kedudukan strategik serta imej keselamatan bagi terus merangsang pertumbuhan, khususnya dalam sektor pelancongan dan perdagangan domestik.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.