Tuesday, 17 March 2026

54 band, penyanyi dari Malaysia-Indonesia berkampung di MAEPS

 

AMPANG: Ratu Rock, Ella dari Malaysia dan kumpulan Cokelat dari Indonesia, menjadi antara 54 pemuzik yang bakal bergabung pada Festival SoundCircus di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, selama dua hari, mulai 1 Ogos depan. 

Ella dan Cokelat akan bergabung menerusi konsep baharu yang dikenali sebagai Takhta Ratu Nusantara, sekali gus menjadi simbolik kelainan yang dibawakan festival berkenaan, tahun ini. 

Pengarah Festival Art of Speed Malaysia dan SoundCircus Summer Festival 2026, Asep Ahmad Iskandar berkata, acara tahun ini berevolusi dengan peningkatan impak terhadap industri kreatif dan pembangunan pelancongan Malaysia yang signifikan. 

"Untuk edisi tahun ini, Festival SoundCircus hadir dengan konsep yang kali pertama diperkenalkan dalam slot persembahan yang terpilih.

"Kita bawa Cokelat X Ella, di mana lagenda dua negara bergabung atas satu pentas dengan konsep yang diberi nama Takhta Ratu Nusantara.  

"Tidak hanya itu, Jemson X Def Gab C kombinasi antara dua kumpulan rock dari dua generasi berbeza juga bakal memaparkan konsep yang cukup istimewa khas buat peminat rock.

"Konsep ini kita namakan Legends X Renegades. Tidak lupa juga, tahun ini kita bawa muzik rakyat tempatan bersama penyampai radio, Issey dan The Clique. 

"Mereka akan membawakan sebuah persembahan dikir barat bertemakan Custom Culture yang dinamakan Dikir Kustom," katanya. 

Selain itu, Asep berkata konsep istimewa di mana dua generasi anak dan ayah, Couple dan Adnan Othman juga akan berkongsi pentas buat kali pertama menerusi segmen Power Pop Yeah Yeah. 

"Kami berbangga untuk membawa SoundCircus kembali ke MAEPS, menandakan evolusi festival dan impaknya yang semakin meningkat terhadap industri kreatif dan pembangunan pelancongan Malaysia. 

"Sejak penubuhannya pada 2017, SoundCircus dibentuk sebagai platform muzik terpilih yang didedikasikan untuk menyokong kedua-dua bakat yang mapan dan baru muncul, terutamanya dalam ekosistem muzik bebas dan bawah tanah Malaysia. 

"Pada 2019, didorong sambutan orang menggalakkan dan peningkatan kehadiran pengunjung, SoundCircus berkembang melangkaui persekitaran dalaman asalnya ke tempat luar di MAEPS, dengan mengalu-alukan lebih 5,000 pengunjung festival. 

"Peluasan ini menandakan peristiwa penting dalam pembangunan festival dan menekankan pengaruhnya yang semakin meningkat dalam litar hiburan langsung serantau," katanya. 

Asep berkata, persembahan semua artis dibahagikan kepada tiga fasa sepanjang dua hari acara berlangsung. 

Barisan pemuzik yang terbabit dalam fasa pertama merangkumi 20 pemuzik, antaranya The Jansen dari Indonesia, Masdo, Midnight Fusic, Sweetass, Johny Comes Lately, Dannqrack Eemrun, Second Combat (30 Years Anniversary), Krusty, After Midnight, The World Ends WIth You dan Iron Gaze. 

Turut serta dalam fasa pertama adalah Iron Gaze, Heavener, BesSka Tok Saad, Open Privacy, Kosmik, DJ Queizham, DJ Miko Naiko, S4d.kl, DJ Zu serta DJ Creamminalsm. 

Penghibur untuk Fasa 2 pula dibarisi 34 pemuzik dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Jepun. Ini termasuk Freshtown All Stars, Cokelat X Ella (Indonesia & Malaysia), Hari Slatan, Nadin Amizah (Indonesia), Tenxi (Indonesia), High Therapy (Indonesia) dan Straight Answer (Indonesia). 

Turut serta Moneybag, Empty Page, Tricks, Ya Bunayya, Ibliss, Piponation, Jahvalion, Ruckyard, Omnisync, K.O.I, Rina-Hime dan Paylark. Pemuzik yang terbabit dalam fasa tiga akan diumumkan, tidak lama lagi. 

"Buat kali pertama, kita sediakan empat pentas yang berada di dalam dan di luar lokasi disediakan untu pemuzik beraksi. 

"Kami sangat menghargai dan teruja membawa semua pemuzik dengan pelbagai genre dan kelompok peminat di bawah satu penganjuran yang akan menjadi momen epik," katanya.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.