Friday, 23 January 2026

Tourism Malaysia Dan AEON Bekerjasama Dalam Kolaborasi Strategik Promosi Tahun Melawat Malaysia 2026

 

SHAH ALAM — Tourism Malaysia hari ini mengumumkan kolaborasi strategik bersama AEON CO. (M) BHD. (AEON), bagi menyokong pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Kerjasama ini bertujuan mempergiat usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, beli-belah dan gaya hidup yang dinamik melalui pelbagai aktiviti promosi serta tawaran eksklusif kepada pelawat domestik dan antarabangsa di pusat beli-belah terpilih di seluruh negara. 

Kolaborasi ini turut melibatkan pelbagai penggiat industri termasuk hotel, ejen pelancongan, syarikat penerbangan dan pusat beli-belah lain bagi memperluas jangkauan promosi kempen VM2026. Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja, akan ditampilkan sebagai elemen hiasan di rangkaian pusat beli-belah AEON di seluruh negara. Selain itu, video promosi destinasi pelancongan Malaysia akan ditayangkan menerusi skrin LED bagi menonjolkan keunikan serta kepelbagaian produk pelancongan negara sempena VM2026. 

Majlis pelancaran kolaborasi ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Chiew Choon Man, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, mewakili YB Dato Sri Tiong King Sing bertempat di AEON Mall Shah Alam. Turut hadir ialah YBrs. Encik Chua Choon Hwa (Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC; YBhg. Datuk Iskandar Sarudin (Pengerusi AEON Company Malaysia Bhd.) serta Puan Zuraini Abdul Ghani (Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia). 

Menurut YB Dato Sri Tiong King Sing, kolaborasi strategik ini mencerminkan komitmen berterusan sektor swasta dalam menyokong agenda VM2026. Inisiatif seumpama ini bukan sahaja berupaya merancakkan sektor pelancongan, malah turut menjana kesan limpahan ekonomi kepada industri berkaitan seperti peruncitan, hospitaliti dan perkhidmatan. Usaha ini seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan serta memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan. 

Pada majlis yang sama, barangan edisi terhad hasil kolaborasi khas sempena VM2026 iaitu beg ‘tote’ dan ‘headband’ turut dilancarkan. Pengunjung berpeluang menebus barangan edisi terhad ini dengan perbelanjaan minimum RM350 menerusi gabungan sehingga tiga resit pembelian. 

Sepanjang tempoh kempen ini berlangsung, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan termasuk program Cerita Raya bersama Wira dan Manja, Carnival Bazaar yang menampilkan pelbagai sajian tempatan, serta penganjuran Tourism Malaysia Run di beberapa negeri terpilih. Selain itu, barangan penebusan eksklusif dan pelbagai aktiviti interaktif turut diperkenalkan bagi meraikan VM2026 bersama rakan strategik Tourism Malaysia, komuniti setempat, serta pelawat dari dalam dan luar negara. 

Tourism Malaysia kekal komited dalam merangsang perbelanjaan pelancongan negara melalui segmen beli-belah dengan menarik lebih ramai pelawat untuk berkunjung dan membeli-belah di Malaysia. Usaha ini akan diperkukuh melalui penganjuran Malaysia Super Sale pada Mac 2026, Malaysia Mega Sale (Jun hingga Julai 2026) dan Malaysia Year End Sale (MYES) bermula November 2026 hingga Januari 2027. Inisiatif ini akan menyokong pertumbuhan ekonomi negara serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi beli-belah utama di rantau ini. 

Segmen beli-belah kekal sebagai komponen penting dalam industri pelancongan negara, selaras dengan sasaran Visit Malaysia 2026 untuk menarik seramai 43 juta pelawat antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memperkukuh ekonomi Malaysia.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.