PETALING JAYA – Kuala Lumpur berada di tangga kelapan bandar raya paling popular dikunjungi pelancong dunia pada suku pertama tahun ini susulan peningkatan tempahan perjalanan antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Pengurus Besar Trip.com Malaysia, Stephane Thong berkata,
berdasarkan data tempahan dari 1 Januari hingga 31 Mac 2026, Malaysia
tersenarai dalam lima destinasi luar negara utama bagi pelancong dari Asia
Tenggara dan China, selain berada dalam kelompok 10 teratas pelancong dari Hong
Kong, Taiwan dan Korea Selatan.
Menurut beliau, Kuala Lumpur kini sebaris dengan bandar raya utama
dunia seperti Tokyo, Seoul dan Bangkok sebagai destinasi pilihan global.
“Momentum ini didorong kepelbagaian tarikan pelancongan merangkumi bandar, alam semula jadi serta destinasi mesra keluarga berasaskan warisan dan budaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri
Tiong King Sing berkata, pemulihan sektor pelancongan negara menunjukkan
perkembangan memberangsangkan dengan pertumbuhan ketibaan pelancong dari
pasaran utama dunia.
“Pasaran Timur Tengah, China dan ASEAN menunjukkan peningkatan ketara. VM2026 menyasarkan 47 juta ketibaan pelancong dengan penerimaan berbilion ringgit,” katanya.
Sementara itu, data Trip.com menunjukkan Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Kuching dan Johor Bahru menjadi destinasi domestik paling popular, manakala China, Singapura dan Jepun kekal sebagai pilihan utama rakyat Malaysia ke luar negara.
Golongan milenial menyumbang 51 peratus tempahan, diikuti generasi X
dan Z, manakala taman tema seperti Genting SkyWorlds, Sunway Lagoon dan
Skytropolis kekal menjadi tarikan utama keluarga.
–Kosmo! Online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.