KUALA LUMPUR: Iconic Penang Sdn Bhd (Iconic) secara rasmi membuka Iconic Marjorie Penang, sebuah Tribute Portfolio Hotel yang juga sebahagian daripada rangkaian global Marriott International dengan sasaran memanfaatkan kemasukan pelancong ke Pulau Pinang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengarah Eksekutif Iconic, James Tan Cho Chia, berkata pembukaan Iconic Marjorie Penang menandakan komitmen Kumpulan Iconic dalam memperkukuh landskap hospitaliti mewah di Pulau Pinang.
"Kami berbesar hati mengumumkan pembukaan rasmi Iconic Marjorie Penang yang meraikan kekayaan budaya Pulau Pinang melalui reka bentuk tersendiri berinspirasikan warisan Baba Nyonya," katanya selepas majlis pembukaan rasmi oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri
Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Cho Chia, berkata, kerjasama erat dengan Marriott International membolehkan kumpulan Iconic membangunkan sebuah hotel bertaraf dunia yang bukan sahaja menawarkan pengalaman mewah malah menghubungkan tetamu dengan komuniti setempat serta identiti budaya negeri.
Beliau berkata, sebagai hotel Tribute Portfolio, Iconic Marjorie
menyertai koleksi hotel global yang menekankan reka bentuk menawan dan
pengalaman tempatan yang autentik.
Katanya, sektor pelancongan dan hospitaliti Pulau Pinang dijangka terus berkembang kukuh didorong inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, selain peningkatan infrastruktur, penganjuran acara antarabangsa dan pertambahan penerbangan global ke Pulau Pinang.
"Kami menghargai usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memacu industri pelancongan yang mampan dan berdaya saing," katanya.
Hotel bertaraf lima bintang yang terletak di Bayan Lepas itu menampilkan 298 bilik dengan konsep reka bentuk tersendiri berinspirasikan budaya Baba Nyonya, sekali gus mencerminkan keunikan warisan dan kepelbagaian budaya Pulau Pinang yang menjadi tarikan utama pelancongan negeri.
Dilengkapi kemudahan rekreasi bertaraf dunia, Iconic Marjorie Penang menawarkan kolam renang infiniti, jakuzi, pusat kecergasan 24 jam serta WellNest Spa yang baharu di tingkat 13, yang direka sebagai santuari ketenangan untuk tetamu berehat.
Iconic Marjorie Penang dibangunkan dengan pelaburan sebanyak RM180 juta, menjadikannya projek hotel kedua Kumpulan Iconic selepas Iconic Hotel di Seberang Perai yang dibuka pada 2016.
Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan itu sebagai pemaju hospitaliti utama di negeri itu.
Selain kemudahan penginapan dan spa, hotel ini turut meraikan
warisan kulinari Pulau Pinang menerusi tiga konsep restoran dan lounge
tersendiri, sekali gus melengkapkan tawaran gaya hidup mewah yang diyakini
mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Pulau Pinang
menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
-berita harian online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.