Thursday, 22 January 2026

Majlis Pelancaran Tahun Melawat Perlis 2026 Dan Kalendar Acara Pelancongan Tahun 2026

 

Majlis Pelancaran Tahun Melawat Perlis 2026 Dan Kalendar Acara Pelancongan Tahun 2026

Tarikh: 21 Januari 2026 (Rabu)

Masa: 8.30 malam

Tempat: Dewan Warisan, Kangar, Perlis

DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis, telah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Tahun Melawat Perlis 2026 dan Kalendar Acara Pelancongan Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Warisan, Kangar, Perlis. Turut sama berangkat DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis serta DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis.

Majlis ini turut dihadiri oleh YAB Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Menteri Besar Perlis dan YABhg. Isteri, YB Tuan Rus’sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis dan YBhg. Isteri, YB Dato’ Rahimi bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan YBhg. Isteri, YB Tuan Saharuddin bin Sarwan, Pegawai Kewangan Negeri Perlis dan YBhg. Isteri serta YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kerajaan Negeri Perlis telah mengumumkan pelanjutan pelaksanaan program Tahun Melawat Perlis 2024–2025 sehingga penghujung tahun 2026 selaras dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pelancong domestik dan antarabangsa untuk menikmati kepelbagaian tarikan unik negeri ini.

Seiring pelancaran tersebut, slogan rasmi baharu, “Hampa nak pi mana? Mai Lah Perlis!” turut diperkenalkan sebagai teras kempen pelancongan negeri bagi tahun 2026 yang menumpukan kepada The Great Northern Escape (Adventure & Nature Tourism), Agro-Tourism & Flavours of Perlis (Gastronomy Tourism), Rustic Charm & Slow Living (Relaksasi), Muslim Friendly Offering (Destinasi Ketenangan Jiwa & Keindahan Alam) serta Border Crossings & Cultural Fusion (Shopping & Warisan). Disamping itu penubuhan Biro Pelancongan, Seni, Budaya, Hiliran dan Warisan bagi memperkukuh pengurusan, koordinasi dan keberkesanan pelaksanaan inisiatif pelancongan Negeri Perlis.

DYMM Tuanku Raja Perlis telah berkenan menyempurnakan simbolik pelancaran Tahun Melawat Perlis 2026 serta menyaksikan tayangan montaj promosi Tahun Melawat Perlis 2026. Majlis turut diserikan dengan persembahan Kumpulan Orkestra Citra Kirana serta Persembahan Finale Tahun Melawat Perlis 2026 oleh Gabungan Artis Budaya Kumpulan Kesenian JKKN Perlis bersama Orkestra Citra Kirana.

Hadir sama dalam majlis ini ialah YBrs. Encik Rusdi bin Yahya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), YBrs. Dr Noriman bin Rojulai, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, wakil-wakil jabatan dan agensi berkaitan serta urus setia majlis.

Sumber Info : Pejabat SUK Perlis

Untuk maklumat lanjut mengenai Tahun Melawat Perlis 2026 dan Kalendar Acara Pelancongan Negeri Perlis sila layari :TOURISM.PERLIS.GOV.MY

-Jabatan Penerangan Negeri Perlis.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.