Sunday 14 April 2024

Cabutan bertuah pertama TMM2024 pada 21 April ini

 

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam melihat gambaran asal rumah Villa Sentosa, sambil diperhatikan Ab Rauf (dua kanan); EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Abd Razak Abd Rahman dan Pengurus Villa Sentosa, Ibrahim Hashim (kanan). - Foto NSTP/AMIR MAMAT


MELAKA: Empat daripada 12 kereta pelbagai jenama yang disediakan untuk cabutan bertuah sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan diagihkan dalam acara khas pada 21 April ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kerajaan negeri akan melakukan cabutan nama pengunjung dan pelancong bertuah yang pernah mengunjungi pusat pelancongan di negeri ini selain pembeli produk pelancongan yang terdapat di lokasi tumpuan itu.

Katanya, menerusi kupon penyertaan yang dimasukkan ke dalam peti khas, pengunjung berpeluang memenangi hadiah utama berupa kereta selain beberapa lagi hadiah iringan.

"Ini cabutan pertama sejak penganjuran TMM2024 dan kita menyediakan setiap bulan sebuah kereta dengan cabutan mega akan diadadakan pada 21 April ini untuk memilih empat pemenang pertama hadiah utama berkenaan.

"Kita menerima banyak penyertaan menerusi pembelian cendera mata pelancongan Melaka sejak ia dilancarkan awal tahun ini dan cabutan akan dibuat setiap tiga bulan sekali," katanya selepas menghadiri perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-100 Villa Sentosa yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Kampung Morten, di sini hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abd Razak Abd Rahman.

Ab Rauf turut teruja apabila negeri itu berjaya merekodkan kedatangan 3.7 juta pelancong bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini sempena TMM2024.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 70,000 kenderaan sehari dicatatkan memasuki negeri berkenaan pada setiap hujung minggu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung dalam tempoh tiga bulan itu.

Justeru, beliau yakin sasaran untuk menarik 18.7 juta pelancong dan pengunjung ke Melaka sempena TMM2024 akan dapat dicapai.

Sementara itu, Ab Rauf turut berharap masyarakat dapat mengembleng tenaga memelihara khazanah budaya di negeri ini untuk memastikan sejarah ketamadunan budaya dapat disampaikan kepada generasi akan datang.

"Sehubungan itu, saya mahu usaha menghidupkan kembali sejarah kegemilangan Villa Sentosa yang menjadi kediaman terawal bercirikan seni bina Melayu asli di Melaka ini dapat diperkasakan lagi, sekali gus dapat menggamit pelancong serta merealisasikan sasaran menarik 18.7 juta pelancong menerusi TMM2024," katanya.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.