Sunday 21 April 2024

Melaka bakal bangunkan Perkampungan Pelancongan Jawa pertama di Malaysia

 


MELAKA: Kerajaan negeri akan mewujudkan Perkampungan Pelancongan Jawa pertama di negara ini di Kampung Paya Dalam, di sini.


Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata menerusi mesyuarat EXCO negeri baru-baru ini, kerajaan negeri meluluskan cadangan mewujudkan perkampungan berkenaan sebagai satu daripada produk baharu pelancongan berasaskan komuniti Jawa di negeri terbabit.


"Di kawasan ini terdapat kira-kira 10,000 masyarakat Jawa dan sebahagian besarnya masih mengamalkan adat dan budaya etnik berkenaan termasuk percakapan dan amalan seharian.


"Selepas memikirkan supaya adat dan budaya Jawa tidak akan hilang ditelan zaman, kerajaan negeri bersetuju memperkasa serta mempertahankannya dengan membangunkan satu perkampungan budaya di sini untuk tarikan pelancong.

"Insya-Allah kita jangka menjelang akhir tahun ini cadangan itu akan direalisasikan," katanya selepas menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Persatuan Warisan Anak Jawa Paya Dalam (PERWAJA) di Kampung Tengah Paya Dalam, di sini hari ini.

Hadir sama, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman; Mufti Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Dalam, Umros Mariman.

Melaka mempunyai lebih 30,000 masyarakat berketurunan Jawa yang tinggal di beberapa kawasan termasuk di sekitar Paya Dalam dan Ayer Molek, Kampung Paya Tanjung di Serkam serta beberapa lokaliti di Sungai Rambai.

Ab Rauf berkata, dengan kewujudan Perkampungan Pelancongan Jawa di Paya Dalam itu kelak, ia akan memperkenalkan seni, budaya, makanan dan gaya hidup masyarakat etnik berkenaan.

Katanya, satu kawasan di kampung terbabit seluas kira-kira 1.6 hektar sudah dikenal pasti untuk dibangunkan sebuah kompleks dinamakan Kompleks Warisan Jawa Negeri Melaka.

"Apabila direalisasikan kelak, tarikan pelancongan baharu ini akan membawa limpahan ekonomi lebih besar kepada penduduk kampung dan kepada penduduk Kampung Paya Dalam dan sekitarnya, bersedialah untuk memperkenalkan seni, budaya, kehidupan, makanan dan kraftangan kepada pelancong yang akan tiba tidak lama lagi," katanya.

-berita harian.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.