𝐊𝐔𝐂𝐇𝐈𝐍𝐆, 𝟐 𝐀𝐩𝐫𝐢𝐥 𝟐𝟎𝟐𝟒 - Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pakej
Pelancongan Sarawak Delta Geopark & Gawai 2024 bagi mempromosikan keunikan
produk pelancongan geopark serta sambutan Hari Gawai di Sarawak kepada
pelancong tempatan dan antarabangsa.
Sebanyak 37 pakej pelancongan telah dibangunkan
dengan kerjasama 13 operator pelancongan dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia
yang antara lain menawarkan lawatan ke geotapak, tapak biologi dan tapak budaya
di sekitar geopark merangkumi daerah Kuching, Bau dan Padawan.
Antara pakej-pakej yang ditawarkan termasuklah
Pakej Geological, Heritage & Exploration @ Sarawak Delta Geopark, Pakej The
Hidden Prehistory & Geological Sites @ Sarawak Delta Geopark, Pakej Cloud
Glamping @ Sarawak Delta Geopark, Pakej Nature & Cultural @ Sarawak Delta
Geopark, Pakej Gawai Open House at Matop Longhouse, Pakej Babulang Festival in
Limbang serta Pakej Irau Aco Lun Bawang Festival.
Kesemua pakej pelancongan tersebut telah dimuatkan
di dalam sebuah risalah yang kini boleh dimuat turun di laman sesawang Tourism
Malaysia iaitu www.malaysia.travel.
Encik Mohd Roslan Abdullah, Pengarah Bahagian
Pembangunan Pakej Tourism Malaysia berkata, pembangunan pakej tersebut
merupakan sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan pilihan destinasi
pelancongan seiring dengan persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Di samping itu, pembangunan pakej ini juga dapat
memangkin ke arah usaha pemeliharaan warisan, sejarah dan budaya selain
mempelbagaikan kegiatan ekonomi serta penglibatan masyarakat setempat bagi
menjana sumber pendapatan,” katanya.
Pakej Sarawak Delta Geopark & Gawai 2024
dibangunkan susulan daripada penganjuran bengkel dan lawatan produk pelancongan
selama 4 hari 3 malam yang diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri melalui
Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) pada
16-19 Oktober 2023.
Penganjuran bengkel tersebut turut mendapat
kerjasama daripada Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia
Sarawak serta Tourism Malaysia Sarawak. Antara potensi pelancongan yang
diteroka termasuklah tapak-tapak geopark menarik seperti Tasik Biru, Fairy
Cave, Paku Rockmaze Garden, Rumah Panjang Annah Rais, Homestay Bung Jagoi dan
Kampung Sapit (juga dikenali sebagai “Village Above The Cloud”).
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.