Tuesday, 30 May 2023

Tourism Malaysia Lancar Pakej Durian Tourism 2023


TANGKAK, 30 MEI 2023 - Tourism Malaysia hari ini melancarkan kempen pakej Durian Tourism bagi tahun 2023 dalam usaha memeriahkan dan mempromosikan musim durian di seluruh Malaysia.

Kempen pakej Durian Tourism dianjurkan pada tahun ini bermula dari 30 Mei sehingga 31 Ogos 2023. Penganjuran program ini mendapat kerjasama daripada MARDI dan 13 pengendali pelancongan tempatan dengan menawarkan sebanyak 18 pakej yang menarik sebagai pilihan kepada pelancong.

Penawaran pakej Durian Tourism 2023 bermula dari RM 50 seorang untuk buffet durian dan Pakej 3 Hari 2 Malam (3H2M) dari RM1740 seorang dengan tempahan minimum 15 orang. Aktiviti-aktivitinya adalah seperti mengutip, menjamu durian dan buah-buahan lain, menyediakan pelbagai minuman berasaskan halia, membuat tempoyak, dan merasai pengalaman tinggal di kampung.

Pakej-pakej yang ditawarkan meliputi negeri-negeri di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Pahang dan Johor. Bagi edisi kali ini, Tourism Malaysia juga mengambil inisiatif untuk memasarkan pakej Durian Tourism 2023 di luar negara seperti China, Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Brunei.

Majlis pelancaran kempen tersebut telah berlangsung di Happy Fruit Tangkak, Johor dan dirasmikan oleh Encik Shahrin Mokhtar, Pengarah Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia mewakili YBhg. Dato’ Dr. Ammar Abd Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.

Encik Shahrin berkata, melalui kempen pakej Durian Tourism 2023 ini akan dapat memperkenalkan lebih banyak destinasi 2nd-tier yang mampu memberi impak kepada kegiatan ekonomi setempat.

“Keunikan pakej ini berupaya meningkatkan daya saing yang kompetitif di samping memberi kesedaran terhadap perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar selaras dengan teras 5 dalam Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 iaitu memperkukuhkan komitment terhadap pelancongan lestari,” katanya.

Tambah beliau, dengan permintaan tinggi terhadap produk pelancongan sebegini, pembangunan infrastruktur diharapkan akan bertambah baik, wujud jaringan perniagaan yang kukuh bukan sahaja di kalangan penggiat industri secara khusus malah meliputi pelbagai sektor lain juga.

Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh dengan mengimbas kod QR yang disediakan ataupun menerusi laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.

-Tourism Malaysia.

 pakej-durian-2023.pdf (malaysia.travel)

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.