Friday, 12 May 2023

Berkonsepkan edutainment, Wetland Studios Putrajaya dibuka 25 Mei ini

 


TAMAN tema berkonsepkan edutainment, Wetland Studios Putrajaya yang akan dibuka pada 25 Mei ini dijangka menjadi daya tarikan pelancongan terbaharu kepada pengunjung terutamanya kanak-kanak.

Dahulunya taman tema ini dikenali sebagai Pusat Penghayatan Alam (NIC) Taman Wetland setelah ia beroperasi selama 10 tahun, kemudian ditambah baik dengan memperkenalkannya sebagai Wetlands Studios.

Apa yang istimewa, kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) bersama KRU Studios ini melibatkan pembangunan bahan pameran menggunakan sistem teknologi terkini yang akan membantu PPj melengkapkan pengisian pameran interaktif.

Ini sekali gus memenuhi hasrat PPj yang menekankan tema pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta spesies-spesies hidupan dari era prasejarah sehingga kini khususnya mempertingkatkan fungsi dan peranan air tawar sebagai salah satu sumber utama kehidupan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata Wetlands Studios ini mendidik masyarakat tentang sains kehidupan.

“Saya berharap taman tema indoor ini boleh menjadi tempat pendidikan anak-anak belajar tentang sains kehidupan. Ia sudah tentu sesuai dengan minat kanak-kanak kerana ia berkonsepkan pendidikan hiburan atau edutainment.

“Wetlands Studios Putrajaya yang merupakan bangunan tiga tingkat ini menyediakan banyak aktiviti menarik yang melibatkan kehidupan air, darat dan udara. Di mana mereka akan diterangkan tentang kepentingan tiga elemen ini termasuk flora dan fauna.

“Apa yang menarik, penyampaian info sains kehidupan ini bukanlah seperti dalam kelas tetapi ia menghiburkan. Penyampaian adalah secara naratif yang melibatkan teknologi hologram, animasi dan robotik.

“Setiap kehidupan disediakan dalam bentuk robot yang menarik sekali gus memudahkan mereka memahami tentang kepentingan kehidupan air, darat dan udara,” jelas beliau.

Menurut Norman, kos kandungan dan teknologi bagi membangunkan Wetland Studios yang dianggarkan membabitkan pelaburan RM10 juta ini diharap dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.

“Wetland Studios bukan sekadar taman tema untuk bersuka-ria tetapi berkonsepkan edutainment yang menonjolkan peranan Taman Wetland Putrajaya serta flora dan faunanya kepada masyarakat setempat.

“Pengunjung akan mendapat pemahaman saintifik yang menghiburkan tentang pelbagai spesies hidupan seperti mamalia, reptilia, ikan, burung, serangga, pokok, bunga dan sebagainya serta peranan utama air bagi menyokong ekosistem kehidupan di bumi dari zaman prasejarah sehingga kini,” jelas beliau.

-WilayahKu.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.