Saturday 13 May 2023

Jangan salah guna visa umrah, pelancong untuk tunai haji

 


PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengingatkan umat Islam negara ini supaya tidak menyalahgunakan visa pelancongan dan umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, MOTAC bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada agensi pelancongan dalam bidang umrah seterusnya mengawal selia aktiviti berkaitan.

“Peringatan ini diuar-uarkan supaya tiada jemaah umrah yang mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa sehingga masuk ke musim haji.

“Perkara tersebut adalah satu kesalahan di bawah peraturan Kerajaan Arab Saudi iaitu menunaikan ibadah haji tanpa permit yang sah,” katanya.

MOTAC  turut mengingatkan syarikat pengendali umrah dan jemaah supaya menyelesaikan ibadah umrah sebelum sesi musim haji yang dijangka bermula minggu ketiga bulan depan.

“Kementerian berusaha menghalang perkara-perkara yang tidak diingini selain menjaga hubungan baik yang telah terjalin antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Arab Saudi hanya mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan oleh institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

“Tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti penyalahgunaan melibatkan syarikat pengendali umrah yang dilesenkan kementerian ini,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.