Tuesday, 16 May 2023

Sarawak buka destinasi pelancongan dari Jakarta ke Kuching

 

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK)

KUCHING: Sarawak akan memulakan penerbangan sulungnya bagi destinasi Kuching-Jakarta-Kuching mulai 15 Jun ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil.

Jelasnya usaha itu bagi membuka peluang kepada pemain industri pelancongan dalam meningkatkan promosi destinasi ke serata dunia.

“Sejak kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP), Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) telah giat menjalinkan usaha kerjasama dengan kementerian pengangkutan malaysia serta berapa syarikat penerbangan bagi usaha mempromosi destinasi pelancongan dan penerbangan ke Sarawak.

“Justeru itu, dengan usaha kerjasama itu, kita telah berjaya menambah jumlah penerbangan dari Sarawak ke negara seperti Brunei Darussalam dan Singapura,” dedahnya dalam ucapannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, MOTS juga kini giat berusaha dalam membawa penerbangan bagi destinasi ke China dan usaha meningkatkan lebih banyak kekerapan penerbangan dari Sarawak ke destinasi yang sedia ada.

“Dengan penambahan jumlah penerbangan dari syarikat yang telah beroperasi, ia secara langsung akan menjalinkan persaingan sihat di antara syarikat penerbangan yang lain.

“Pada masa yang sama MOTS juga giat menambah jumlah kekerapan penerbangan terutamanya pada musim perayaan dan cuti persekolahan,” katanya.

Untuk rekod, Sarawak mempunyai 447 jumlah penerbangan domestik dan 41 antarabangsa yang dioperasikan oleh syarikat penerbangan seperti AirAsia, Malaysia Airlines, MYAirlines, FireFly, Maswing dan Scoot.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.