Sunday 23 January 2022

Program MM2H terima sambutan menggalakkan

 


PUTRAJAYA: Sebanyak 111 permohonan bagi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) diterima daripada warga asing selepas dibuka sejak November tahun lalu sehingga bulan ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, program berkenaan dilancarkan pada Ogos tahun lalu dan ia sekali gus membuktikan mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat negara luar. 

“Dalam tempoh dua bulan selepas permohonan dibuka, sebanyak 15 peserta yang terdiri daripada pemegang pas ‘prinsipal’ dan ‘tanggungan’ diluluskan, malah tiga daripada mereka kini sudah pun menetap di Malaysia.

“Bakinya masih dalam proses melengkapkan dokumen serta ada yang sedang dalam penelitian pihak kementerian menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Executive Lounge MM2H di Ibu Pejabat JIM, di sini hari ini.

Hamzah berkata, permohonan menyertai program tersebut yang dibuat secara dalam talian dimulakan semula selepas diambil alih daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Beliau menjelaskan, hanya peserta yang memenuhi syarat diterima untuk menyertai MM2H iaitu mesti membawa sekurang-kurangnya RM1 juta setiap seorang berbanding dulu hanya disyaratkan RM300,000 saja.

Secara purata, jika kita luluskan 1,000 permohonan setiap tahun, dengan itu kita membawa masuk RM1 bilion, berbeza jika kita bandingkan dengan dahulu yang mana kita hanya mampu membawa RM300 juta,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kerajaan menyasarkan peserta yang berkualiti, berkemampuan serta berpendapatan tinggi untuk menyertai program berkenaan sekali gus menafikan dakwaan negatif sesetengah pihak terhadap program itu.

“Kita bermula dengan Program Silver Hair pada 1996, dan sehingga sekarang iaitu sudah 25 tahun, hanya 27,285 pemegang pas prinsipal dan 27,725 pemegang pas tanggungan yang aktif.

“Program ini menunjukkan bahawa dalam tempoh 25 tahun ini hanya lebih kurang 1,000 pemegang pas yang aktif setahun, jadi tidak perlu diperbesarkan seolah-olah ia membawa banyak kerugian kepada negara dan sebagainya,” jelas beliau.

Tambah beliau, program berkenaan juga akan ditambah baik secara berperingkat dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Bank Negara dan ejen-ejen pengendali MM2H sebelum ini bagi memastikan ia lebih berjaya di masa hadapan.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.