Thursday, 20 January 2022

SOP perjalanan umrah dimuktamad menjelang Februari

 


PUTRAJAYA: Proses penilaian risiko dan prosedur operasi standard (SOP) perjalanan umrah dimuktamadkan menjelang pertengahan Februari ini.

Menurut kenyataan bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, kedua-dua kementerian komited memuktamadkan perkara tersebut khusus bagi garis masa pembukaan semula perjalanan umrah.

Ia susulan sesi libat urus dua kementerian itu yang berlangsung hari ini bersama Persatuan Agensi Pelancongan (umrah) bagi mendapatkan maklum balas hala tuju industri umrah berhubung keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa.

“Kedua-dua menteri dalam maklum balas mereka menyatakan komitmen untuk memperincikan dan memperhalusi setiap isu serta cadangan yang dikemukakan di peringkat kementerian masing-masing sebelum membentangkan cadangan penambahbaikan kepada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 akan datang.

“Kerajaan amat prihatin dengan pelbagai cabaran yang dihadapi pemain industri pelancongan negara. Sehubungan itu, kedua-dua kementerian berharap semua pemain industri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan aktiviti umrah dapat terus dilaksanakan dengan selamat,” demikian kenyataan tersebut di sini hari ini.

Dalam pada itu, sesi libat urus itu dikendalikan kedua-dua menteri berkenaan dan turut dihadiri pengurusan tertinggi kedua-dua kementerian, wakil-wakil agensi Persekutuan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Imigresen.

“Antara perkara yang dibangkitkan pemain industri pelancongan umrah pada sesi perbincangan libat urus adalah SOP berkaitan pelaksanaan perjalanan umrah, isu bayaran balik dan penjadualan semula penerbangan, perlindungan insurans, garis masa pembukaan semula perjalanan umrah dan bantuan pemulihan kepada industri pelancongan,” jelasnya.

Sementara itu, libat urus itu juga turut disertai ahli-ahli daripada Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) dan The Malaysian Association of Tour & Travel Agents (MATTA).

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.