MELAKA 25 Ogos – Kepakaran para penyelidik tempatan serta persekitaran semula jadi menjadikan Malaysia antara destinasi paling sesuai untuk pembangunan sektor pelancongan kecantikan dan kesihatan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, negara ini mempunyai segala yang diperlukan dalam menjadikan sektor tersebut lebih berkembang maju serta mampu memberi pulangan ekonomi.
Menurutnya, kesejahteraan dan kecantikan asli negara ini yang menyediakan latar belakang semula jadi sesuai dijadikan spa tradisional, pusat kecantikan dan kesihatan serta pusat pakar yang menggabungkan rawatan kecantikan kesihatan dengan elemen pelancongan.
“Pelancongan kecantikan dan kesihatan mampu menjadi sektor yang dinamik serta berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara selain menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat.
“Jika sektor ini menggabungkan pengetahuan tradisional dengan teknologi yang diperolehi daripada usaha kajian dan pembangunan (R&D), saya yakin ia akan menggerakkan negara ke satu tahap seterusnya menjadikan Malaysia sebagai destinasi terbaik pelancongan kecantikan dan kesihatan kepada pelancong mahupun rakyat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Bioteknologi Industri Kecantikan dan Kesihatan (ICBWI) keenam di sini baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Rawi Mahmud dan Pengerusi ICBWI, Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi.
Idris berkata, pengkomersialan hasil R&D oleh penyelidik negara seterusnya dapat memberi faedah terus kepada negara dan kerjasama yang dijalankan dalam bidang tersebut amat penting bagi menghasilkan produk berkesan yang dapat memenuhi keperluan pasaran.
Katanya, bidang-bidang seperti kosmeseutikal, nutraseutikal dan nutrikosmetik merupakan segmen industri kecantikan dan kesihatan yang sedang berkembang maju di seluruh dunia.
“Sehubungan itu, trend terbaharu dalam kajian yang mempromosikan produksi nutrisi makanan, pertanian, kosmetik berkesan dan selamat perlu diberi penekanan dan dikongsikan agar dapat memberi faedah kepada semua,” katanya.
Sementara itu tambah beliau, persidangan itu merupakan langkah terbaik dalam memastikan perkongsian idea dan kepakaran dalam bidang berkenaan terutamanya berkaitan teknologi.
Penganjuran ICBWI ini juga, katanya, adalah usaha bijak untuk mempromosikan kecantikan kesihatan yang kelak dapat membantu mengurangkan kos penjagaan kesihatan di kalangan masyarakat negara ini.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.